Saksi kejadian tembak ditempatkan di kedutaan Indonesia
Terjemahan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memberi perlindungan kepada tiga pekerja pendatang tanpa izin Indonesia yang dipercayai menjadi saksi dalam kejadian empat pekerja republik itu ditembak di sebuah kuari di Selangor minggu lalu.
Terjemahan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memberi perlindungan kepada tiga pekerja pendatang tanpa izin Indonesia yang dipercayai menjadi saksi dalam kejadian empat pekerja republik itu ditembak di sebuah kuari di Selangor minggu lalu.
Setiausaha pertama kedutaan itu, pegawai perhubungan kanan, Dwi Priyatno berkata, saksi-saksi tersebut (foto) akan ditempatkan di kedutaan tersebut sehinggalah kes itu selesai.
Bagaimanapun, beliau menafikan kedutaan melindungi pendatang tanpa izin (pati) dan menegaskan pihaknya bersedia menyerahkan saksi-saksi tersebut jika pihak polis boleh menjamin keselamatan mereka.
"Kami tidak melindungi orang jahat. Kami bimbang mereka akan lari dari tapak kerja sementara siasatan dijalankan. Juga demi keselamatan mereka, kami memutuskan untuk menempatkan mereka di sini (kedutaan)," katanya dalam sidang akhbar petang semalam.
Dwi Priyatno, yang juga seorang pegawai polis republik itu, berkata beliau telah mencatatkan maklumat dari saksi-saksi tersebut.
"Kami akan serahkan maklumat tersebut kepada polisMalaysia untuk membantu siasatan mereka. Tetapi kami mempunyai hak untuk memastikan perbicaraan ke atas rakyat kami dijalankan secara adil," tambahnya.
Percanggahan dakwaan
Kejadian tembakan itu, yang berlaku di Bukit Lanjang, Damansara Damai minggu lalu, masih diselubungi misteri.
Menurut satu laporan media, rakyat Indonesia tersebut ditembak oleh seorang pengawal keselamatan yang menyangka mereka perompak. Tetapi kumpulan lobi pekerja asing yang berpejabat di Indonesia mendakwa, mereka ditembak oleh kumpulan yang mendakwa anggota polis.
Dengan ditemani anggota polis Malaysia, Dwi (foto), setiausaha ketiga Rizaldi
Ishak, dan atase buruh Abdul Malik, melawat tempat kejadian semalam.
Kedutaan Indonesia memandang berat kes tersebut yang turut dilaporkan dalam media di Indonesia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Penguasa Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya sedang menyiasat kedua-dua dakwaan tersebut.
Keempat-empat rakyat Indonesia itu mengalami kecederaan ringan dalam kejadian tersebut dan kini berada dalam tahanan polis.

