Kenaikan tol belum muktamad, kata firma konsesi
Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mengesahkan beberapa lebuh raya bakal untuk melaksanakan kenaikan tol, namun mengakui keputusan tersebut masih belum dimuktamadkan.
"PSKLM ingin memaklumkan bahawa keputusan muktamad mengenai perkara itu masih belum dibuat.
"Berdasarkan perjanjian konsesi, terdapat beberapa lebuh raya yang layak untuk mengenakan kenaikan kadar tol pada tahun ini.
"Bagaimanapun, syarikat-syarikat konsesi masih dalam proses rundingan dengan pihak kerajaan," kata Naib Presiden PSKLM, Sazally Saidi dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan oleh portal berita automotif tempatan, Paultan.org yang bertajuk: 'Toll hike at eight highways soon'.
Kenaikan tol akan berlaku, yang mula-mula sekali dilaporkan oleh Sin Chew Daily, melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Laluan Kedua Malaysia -Singapura, Shah Alam Expressway (Kesas), Butterworth Kulim Expressway (BKE), Lebuhraya Port Dickson-Seremban (SPDH), New North Klang Straits Bypass (NNKSB) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Walau bagaimanapun , kenaikan tol bagi LDP telah dikuat kuasakan pada tahun lepas.
Sin Chew Daily memetik laporan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof sebagai berkata bahawa kenaikan tol bagi beberapa lebuh raya telah tertangguh sejak 1 Jan tahun ini dan kerajaan perlu membayar RM539 juta sebagai ganti rugi jika tidak membenarkan kenaikan tol tersebut.

