'Jet' Rosmah mendarat di Kuala Kangsar esok
Pakatan Harapan akan menganjurkan ceramah khas di Kuala Kangsar esok bagi mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai penggunaan jet mewah oleh Datin Seri Rosmah Mansor ke Istanbul, Turki.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata jentera pilihan raya PKR akan turut melancarkan satu replikasi jet mewah yang akan menjadi daya tarikan utama dalam pilihan raya kecil berkenaan.
"Ini akan menjadi daya tarikan utama dalam kempen di hari-hari terakhir di Kuala Kangsar," kata Rafizi dalam kenyataan media hari ini.
Ceramah tersebut akan diadakan di hadapan Bilik Operasi AMANAH di Jalan Daeng Sekili.
Selain Rafizi, penceramah lain yang akan hadir termasuk Presiden AMANAH Mohamad sabu, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution dan calon Pakatan Harapan sendiri, Dr Ahmad Termizi Ramli.
Rafizi berkata beiau juga akan mengadakan sidang media di tempat yang sama pada esok dan Khamis untuk mendedahkan lebih banyak maklumat berhubung isu tersebut.
"Saya percaya beberapa maklumat yang saya akan dedahkan akan menambah lagi kemarahan rakyat terhadap pembaziran nyata wang rakyat di kala peruntukan-peruntukan lain dipotong," katanya.
Minggu lalu, Rafizi mengadakan beberapa sidang media mengenai isu yang sama dan mendedahkan rakaman video menunjukkan isteri perdana menteri menaiki pesawat terbabit.
Dalam jawapannya, pembantu Rosmah Datuk Rizal Mansor berkata tiada apa-apa yang salah bagi isteri perdana menteri menggunakan pesawat berkenaan.
Beliau juga menerangkan beberapa buah beg yang dimasukkan ke kabin adalah milik penumpang dan anak kapal.

