Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh) mengegsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memecat individu bertanggungjawab terhadap slaid “salah” untuk mengajar mahasiswa berkaitan ajaran Sikh dan Hindu.

Menuntut permohonan maaf terbuka, Geraksikh membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Ipoh berhubung “kesalahan fakta” berkaitan ajaran Sikh, dalam sebuah modul universiti itu.

“Orang Sikh di Malaysia sedih dengan langkah UTM yang dilihat cuba mengubah sejarah atau memesongkan fakta berhubung asas-asas ajaran Sikh terutamanya kepada pelajar di negara ini.

“Ini benar-benar salah,” kata setiausaha Geraksikh Amarjit Singh Gill.

Katanya, model seterusnya berkatian agama patut disemak oleh pakar-pakar sejarah, termasuk pihak yang mengamalkan ajaran-ajaran tersebut, katanya.

Semalam, paparan skrin modul yang mengandungi logo UTM viral di media sosial, dipercayai sebahagian daripada modul wajib Tamadun Islam dan Tamadun Asia untuk pelajar di universiti awam.

Slaid itu antaranya menyebut Islam mengajar masyarakat Hindu di India tentang pentingnya kebersihan tubuh badan.

Namun ia menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran pada tubuh badan sebahagian amalan yang boleh menyampaikan seseorang ke alam nirvana.

Slaid yang lain menyatakan agama Sikh adalah gabungan unsur-unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.

MIC turut menggesa polis menyiasat modul itu bawah Akta Hasutan 1948.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanthan berkata UTM akan meminda modul itu.