Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang meminta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar memberi satu contoh sehari mengenai dakwaan dirinya sebagai rasis.

Lim itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ismail Sabri semalam yang mahu membuktikannya anti Melayu-Islam menerusi sebuah buku.

"Boleh, saya akan buktikan. Satu buku pun boleh, tentang ucapan-ucapan dan apa yang dibuat selama ini," kata Ismail Sabri dalam sidang medianya semalam.

Lim menambah, Ismail Sabri boleh memberi satu contoh sehari sehingga hari pengundian 18 Jun ini atau lima contoh sahaja untuk membuktikan tuduhan itu sebagai benar.

"Biar saya beritahu Ismail – buat buku itu nantilah, tetapi silalah beri satu contoh sehari sehingga hari mengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 June atau lima contoh yang menunjukkan saya anti-Melayu dan anti-Islam sepanjang 50 tahun dalam karier politik.

"Beliau sepatutnya beri satu contoh semalam. Oleh kerana beliau tidak berbuat demikian, dia hutang saya satu contoh. Saya tunggu satu contoh sehari sampai Jumaat – lima contoh semuanya – yang mana bukan begitu banyak pun jika dibandingkan dengan buku, rasa-rasa 100 contoh," kata Lim dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, Lim turut menempelak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tadi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melancarkan serangan terhadap pemimpin DAP itu semasa berkempen di Sungai Besar.

Shabery menuduh Lim menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'kuda tunggangan'.

Lim berkata, Shabery sepatutnya bertanya soalan yang sama terus kepada Abdul Hadi yang kini berbaik-baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

[Baca berita penuh]