Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan percubaan pihak pembangkang untuk mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai “wira yang sudah terlambat.”

Ini berhubung rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang diwartakan sebagai akta tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi pembangkang tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati Raja-Raja Melayu tetapi satu penghinaan.

“Yang tak hormat Raja-Raja Melayu (ini) siapa? Kami ke (atau) mereka? Kami yang hormat Raja-Raja Melayu.

“Umno yang memperjuangkan negara ini (sejak) merdeka dan kami yang martabatkan Raja-Raja.

“Mereka ini sudah mari kemudian baru nak jadi wira,” katanya pada sidang media di Sungai Besar hari ini.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja mengembalikan rang undang-undang MKN yang akan memberi majlis itu yang diketuai oleh perdana menteri seperti kuasa darurat dan mahu ia diperhalusi.

Walau bagaimanapun, menurut warta negara, rang undang-undang MKN diperkenankan pada 18 Februari mengikut Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan mana-mana rang undang-undang yang tidak menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 30 hari setelah dikemukakan kepada baginda secara automatik menjadi undang-undang.

Shahidan berkata rang undang-undang diwartakan mengikut saluran yang sah dan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bukannya satu isu.

[Baca berita penuh]