Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang menjalankan siasatan berhubung isu salah maklumat mengenai ajaran Hindu dan Sikh, kata naib canselornya.

Kata Prof Ir Dr Wahid Omar, siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan akan diikuti dengan tindakan sewajarnya selepas itu.

"Kami benar-benar meminta maaf atas apa yang berlaku," katanya dalam kenyataan terbuka dimuat naik di akaun Facebook UTM hari ini.

Semalam universiti itu menyatakan mereka akan memperbetulkan maklumat pada modul pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) selepas ia mengaitkan "kotoran" pada penganut Hindu dengan jalan menuju "alam nirvana".

Satu lagi slaid subjek itu memaparkan maklumat mendakwa pengasas ajaran Sikh menggabungkan unsur ajaran Islam dan Hindu bagi mencipta agama itu.

Dia juga didakwa "tidak memahami secara mendalam" ajaran Islam dan Hindu.

Kata Wahid, bahasa yang digunakan dalam slaid berkenaan tidak menggambarkan kandungan sebenar mata pelajaran Titas.

Katanya, ia juga bukan sebahagian daripada Kursus Terbuka Massa Atas Talian (Massive Open Online Courses) yang diluluskan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mata pelajaran Titas.

"Apa yang tertulis pada slaid tidak menggambarkan kandungan sebenar dan diambil di luar konteks," katanya.

Pertahan nilai mulia

Untuk mengelakkan insiden begitu berulang lagi, kata Wahid, UTM akan memastikan pensyarah hanya menggunakan slaid yang diluluskan kementerian, selain bekerjasama dengan pakar peradaban Asia untuk menyediakan input diperlukan.

"Pada masa sama, kami akan terus mengingatkan ahli akademik untuk lebih berhati-hati pada masa depan dan lebih peka terhadap bahasa dan penyampaian kandungan pada slaid pengajaran dan modul mereka supaya tidak menyentuh sensitiviti orang lain," katanya.

Wahid menambah apa yang berlaku itu adalah insiden terpencil dan tidak menggambarkan nilai sebenar UTM.

Katanya, institusi pengajian tinggi itu menggalakkan persefahaman dalam meraikan kepelbagaian.

UTM juga, katanya, memiliki bukti tentang itu di kampusnya.

Menurut Wahid UTM mempunyai kod etika sendiri bagi membimbing semua kakitangan akademiknya, dengan menekankan keperluan mempertahankan sifat mulia dalam usaha memupuk pemikiran dan prinsip-prinsip yang betul di kalangan kakitangan dan penuntutnya.

"Kod etika itu menggalakkan amalan saling menghormati dan memupuk persefahaman di kalangan budaya, kepercayaan dan agama yang pelbagai.

"UTM percaya kepada nilai penting ini dan setiap ahli komuniti universiti perlu mematuhi dan berusaha untuk mencapai matlamat ini," katanya.

[Baca berita asal]