Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid malam ini mengumumkan dua nelayan Sekinchan yang ditahan di Indonesia akan dibebaskan esok.

Katanya, presiden Indonesia Joko Widodo telah menandatangani pengampunan kepada dua nelayan berkenaan.

"Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong akan dibebaskan.

"Saya telah minta Jamal esok pergi ke laut (untuk) bawa mereka balik ke Sekinchan," katanya.

Kenyataan Ahmad Zahid itu merujuk kepada Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini.

"Saya punya janji betul, janji potong ayam," kata Ahmad Zahid di Majlis Makan Malam Sempena Hari Ibu Bapa di Kampung Bagan Sekinchan.

Kira-kira 100 nelayan keturunan Cina menghadiri majlis malam itu dan mereka membalas ucapan Ahmad Zahid dengan tepukan dan sorakan.

Ahmad Zahid kemudian menyeru nelayan tersebut memberikan undi mereka kepada calon BN bagi pilihan raya kecil Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi pada 18 Jun ini.

"Saya buat ini untuk siapa? Semua ini adalah untuk penduduk Sungai Besar... Saya tidak mahu banyak cakap nanti banyak silap.

"Sokong ini Ah Man (Budiman), OK?

"18 hari bulan, saya mahu tengok, undi buka, Ah Man punya OK?" seru Ahmad Zahid kepada hadirin dan mereka membalas dengan sorakan: "OK!"

Ahmad Zahid kemudian bertanya kepada hadirin lagi: "Boleh tolong tak?" dan nelayan membalas "Boleh!"

Chua dan Heng ditangkap oleh penguat kuasa maritim Indonesia kerana dikatakan memasuki wilayah perairan Indonesia ketika menangkap ikan.

Mereka telah dihukum oleh pihak berkuasa Indonesia sebelum ini dan ditahan di Indonesia.