BN harap menang besar di Sungai Besar
Barisan Nasional (BN) mengharapkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar, sebagai permulaan untuk kemenangan lebih cemerlang parti itu di Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kejayaan BN merampas semula negeri itu kelak, akan membolehkan kerjasama yang erat dapat diwujudkan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Sudah tentulah lebih banyak lagi kemudahan yang boleh dinikmati penduduk dikawasan ini terutama golongan nelayan. Kita berpolitik bukan untuk kedudukan, sebaliknya untuk memastikan supaya rakyat merasai nikmat kemerdekaan dan kesenangan," katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa dan program ziarah kasih bersama Persatuan Nelayan kawasan Sungai Besar semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd PuadZarkashi dan Pengarah Jasa Selangor, Muhamad Nazri Mohd Amin.
Di majlis itu, Salleh turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada persatuan itu yang mempunyai seramai 1,496 anggota.
Salleh dalam pada itu secara sinis berkata, BN sebenarnya bukan bersaing dengan Pakatan Harapan dalam PRK itu, sebaliknya dengan 'Pakatan DAP' berikutan penglibatan parti itu dalam kebanyakan kempen membabitkan calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Azhar Abdul Shukur.
"'Pakatan DAP' ini tidak sampai ke mana... DAP yang tentukan segalanya, kalau DAP sokong AMANAH, PKR juga kena sokong AMANAH sedangkan PAS ialah sebahagian daripada barisan exco kerajaan Selangor.
"Dari segi logik, sepatutnya PKR sokong PAS dan parti itu (PAS) tidak salah bertanding kerana dulu mereka bertanding di sini. Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tiada pilihan kerana dia terpaksa bergantung kepada sokongan 'Pakatan DAP'," katanya.
Sehubungan itu, Salleh meminta supaya pengundi di Sungai Besar menolak pembangkang dan mengekalkan kemenangan BN di kawasan Parlimen itu bagi memudahkan usaha kerajaan Persekutuan membela nasib mereka.
"Saya yakin di sini sokongan padu sentiasa kepada BN dan sekiranya dipilihsebagai anggota Parlimen yang baru, Budiman Mohd Zohdi diyakini akan dapat menjalankan tugas sebaiknya bagi meneruskan kesinambungan tradisi BN memperjuangkan nasib rakyat," katanya.
PRK kawasan Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini, bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Budiman, Azhar dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
- Bernama

