Isteri lelaki bersenjata yang menembak mati 49 orang di sebuah kelab malam gay Orlando tahu mengenai rancangan suaminya untuk melakukan serangan itu dan mungkin didakwa berhubung insiden tembakan paling dahsyat dalam sejarah moden Amerika, kata satu sumber penguatkuasaan undang-undang, hari ini.

Sumber itu berkata, juri persekutuan telah ditubuhkan dan mungkin mendakwa isteri Omar Mateen - Noor Salman, seawal hari ini.

"Nampaknya dia tahu tentang apa yang berlaku," kata Senator US Angus King, seorang ahli Jawatankuasa Perisikan Senat, yang menerima taklimat mengenai serangan itu semalam.

King memberitahu CNN bahawa wanita itu nampaknya sedang bekerjasama dan "dapat memberikan kami beberapa maklumat penting".

Mateen, yang ditembak mati oleh polis selepas kebuntuan selama tiga jam di kelab Pulse awal pada hari Ahad, menelefon 911 semasa insiden itu, untuk mengakui kesetiaan kepada pelbagai kumpulan militan Islam.

Penyiasat persekutuan telah berkata dia mungkin seorang yang radikal dan tidak ada bukti bahawa dia menerima sebarang arahan atau bantuan dari pihak luar seperti Negara Islam (IS).

Mateen, 29, adalah seorang warganegara Amerika Syarikat, yang dilahirkan di New York dalam keluarga pendatang Afghanistan.

"Dia nampaknya telah menjadi marah, terganggu, anak muda yang tidak stabil yang menjadi radikal," kata Presiden Barack Obama kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara White House.

FoxNews.com, yang memetik sumber FBI, berkata pendakwaraya mahu mendakwa Salman bersubahat dalam 49 tuduhan membunuh dan 53 tuduhan cubaan membunuh dan gagal memaklumkan kepada pihak penguatkuasaan undang-undang mengenai rancangan serangan itu dan berbohong kepada ejen persekutuan.

NBC News berkata Salman memberitahu ejen persekutuan bahawa dia cuba menghalang suaminya daripada melakukan serangan itu. Tetapi dia juga memberitahu FBI bahawa dia pernah memandu menghantar suaminya ke kelab malam Pulse kerana suaminya itu mahu memeriksanya, lapor rangkaian berita itu.

Semasa mengamuk, Mateen memasuki kelab itu dan melepas tembakan berkali-kali terhadap mereka yang sudah ditembak, seolah-olah mahu memastikan mereka telah mati, kata Angel Colon, seorang mangsa yang cedera.

"Saya melihat ke atas dan dia menembak gadis di sebelah saya dan saya hanya berbaring dan berfikir: 'Selepas itu saya pula, saya akan mati," kata Colon.

Mateen menembaknya lagi dua kali, satu peluru yang di hala ke kepala Colon terkena tangannya, dan satu lagi mengenai pahanya, cerita Colon.

Mateen membuat panggilan kecemasan 911 dari kelab itu di mana dia berikrar kesetiaan kepada pemimpin Negara Islam (IS), Abu Bakr al-Baghdadi, yang pertubuhannya menguasai sebahagian daripada Iraq dan Syria.

Dia juga mendakwa solidariti terhadap gesaan dengan saudara etnik Chechen yang melakukan pengeboman di Boston Marathon pada 2013 dan dengan seorang Palestin-Amerika yang menjadi pengebom berani mati di Syria bagi cabang al-Qaeda yang dikenali sebagai Barisan Nusra, kata pihak berkuasa.

Seorang pegawai yang biasa dengan penyiasatan itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata penyiasat hanya mula meneliti kandungan telefon bimbit Mateen dan peranti elektronik lain.

Sumber itu berkata, penyiasat percaya Mateen melayari bahan militan Islam di Internet selama dua tahun atau lebih sebelum melakukan serangan di Orlando.

- Reuters

[Baca berita penuh]