Pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor yang kecewa kerana dihalang menghadiri sidang akhbar PKR berhubung pendedahan penggunaan jet peribadi kerajaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli tidak hanya berani di depan mikrofon sahaja.

Katanya, tindakan Rafizi dan PKR itu tidak melambangkan keterbukaan kebebasan media yang selalu dilaungkan.

“Nampaknya kehadiran saya tidak diterima dia tidak mahu membenarkan saya naik ke atas dan ini tidak melambangkan keterbukaan kebebasan media yang selalu beliau laungkan.

“Saya bukan nak lakukan tindakan luar jangka. Saya hanya nak duduk dan kalau tak boleh duduk pun saya akan berdiri serta keluarkan buku nota saya untuk catit. Itu sahaja, kenapa dia tak benarkan saya masuk saya pun tak faham,” kata Rizal kepada Malaysiakini.

Menurut Rizal, ahli parlimen Pandan itu sejak minggu lalu selama tiga hari berturut-turut membidas Rosmah dan beliau datang hari ini untuk mendengar sendiri serta mengambil nota dakwaan pembangkang itu.

Katanya, tindakan itu supaya beliau dapat menyediakan jawapan yang secukup dan sepatutnya.

Pembantu Rosmah itu berkata beliau juga bersedia jika Rafizi sudi berjumpa dengannya secara peribadi.

“Ya, kalau boleh (jumpa secara peribadi) dan kalau beliau orang yang mahukan kebenaran dan cintakan kebenaran dia akan bertanya secara baik dan elok dengan datang ke pejabat kami.

“Kami akan tunjukkan (maklumat) yang setakat tidak melanggar Akta Rahsia Rrasmi saya boleh tunjukkan kepada dia.

“Ini yang sebenarnya patut berlaku tetapi dia memilih untuk mencemarkan imej isteri perdana menteri dahulu barulah dia mencari kebenaran,” kata Rizal dengan kesal.

Niat jahat

Rafizi pada Rabu lalu mendedahkan Rosmah menggunakan pesawat peribadi kerajaan ke Istanbul untuk menerima Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G bagi pihak program awal kanak-kanak PERMATA.

Dakwanya, anggaran sekitar RM86.4 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyewa jet peribadi Airbus ACJ319 selama untuk dua bulan yang digunakan Rosmah itu.

Rizal kemudiannya menempelak Rafizi dan menjelaskan bahawa isteri perdana menteri tidak menginap selama dua bulan di atas awan dalam sebuah pesawat yang menelan perbelanjaan sebanyak RM86juta.

Menurutnya, hakikat sebenar Rosmah hanya berada dalam pesawat selama 26 jam untuk penerbangan pergi-balik Kuala Lumpur ke Istanbul.

Sehari selepas itu, Rafizi berkongsi video dua minit yang kononnya menunjukkan isteri Najib menaiki pesawat milik Emirates Airline dengan pegawainya membawa puluhan beg ke dalam pesawat.

Beliau seterusnya mempersoalkan jumlah pegawai yang mengiringi Rosmah, kandungan beg berkenaan serta mengapa ia tidak diletakkan di kawasan bagasi tetapi terpaksa diangkut sendiri ke dalam pesawat berkenaan.

Rizal pula menjelaskan bahawa jet peribadi itu bukan hanya membawa isteri perdana menteri seorang tetapi 13 penumpang beserta tujuh anak kapal.

Cakap belakang

Katanya, ruang kargo pesawat itu digunakan setelah tangki minyaknya dibesarkan bagi membolehkan pesawat terbang lebih jauh.

Justeru, tempat kargo yang terhad dimuatkan dengan kostum dan alatan PERMATA Seni yang diundang membuat persembahan di Istanbul dan penumpang serta anak kapal membawa beg masing-masing.

Mengulas lanjut, Rizal berkata niat pemimpin pembangkang itu adalah supaya mempengaruhi rakyat memandang serong terhadap Rosmah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dekat sini kita dah nampak niat dia yang sebenar, kalau dia betul-betul berani jangan hanya berani di depan mikrofon tetapi berani berdepan dengan saya.

“Bukanlah nak kata saya hebat tidak, ini kita dalam politik baru jadi jangan cakap belakang tapi cakap depan-depan saya dengar.

“Kalau dia benarkan saya jawap pada waktu itu saya akan jawab tapi kalau tak saya akan jawab kemudian,” katanya.