Pembangkang akan menggunakan apa saja taktik untuk menang dalam dua pilihan raya kecil Sabtu ini.

Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berdepan soalan berhubung dakwaan pemilih “diberi makan dedak”.

“Mereka akan gunakan apa sahaja taktik atau strategi sama ada beretika atau tidak bagi menentukan dividen politik mereka,” kata Zahid.

Soalan pemberita dipercayai merujuk kepada janji-janji pilihan raya yang dibuat semasa tempoh berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Istilah “dedak” dipopularkan oleh kem bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga mendakwa terdapat penggunaan wang tunai (cash is king) bagi mendapatkan sokongan.

Bercakap dalam sidang media di Kuala Kangsar hari ini, Zahid bagaimanapun berkata beliau yakin dengan pengundi di kedua-dua kawasan parlimen itu.

“Tetapi saya yakin pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar istiqamah akan bersama-sama dengan calon BN,” kata Zahid.

Zahid juga meminta jentera BN memperkemas strategi supaya dapat menangkis serangan lawan.

'Ini bukan janji, tapi realiti'

Sementara itu, Zahid turut mengulas dakwaan Parti Amanah Negara (AMANAH) bahawa janji kerajaan untuk membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datoh hanya gula-gula politik BN.

"MRSM untuk anak polis memang saya dah sebut tiga dan tanahnya sudah dibeli oleh MARA. Ini bukan janji tapi realiti.

“Tendernya akan dikeluarkan hujung bulan ini. Ini bukan (sekadar) janji. Saya buat pengumuman itu berdasarkan realiti,” tegas Zahid.

Terdahulu, Zahid menghadiri majlis himpunan sahabat Amanah Iktiar Malaysia (AIM) di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

Dalam majlis tersebut Zahid mengumumkan tambahan peruntukan kepada AIM sebanyak RM100,000.

Malah beliau juga meminta hadirin berjanji agar mengundi calon BN, Mastura Mohd Yazid pada18 Jun ini.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu.

Mastura yang mempertahankan kerusi allahyarham suaminya berdepan calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (bebas).