SPR: Tidak semua pemberian semasa kempen satu kesalahan
Tidak semua perbuatan atau pemberian secara 'per se' semasa pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika ia dinyatakan atau dibuat semasa kempen.
Menurut Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abd Aziz Khalidin, tafsiran kesalahan di bawah seksyen itu adalah mengikut tafsiran ahli politik masing-masing dan pihaknya tidak akan mencampuri apa yang ditafsirkan itu.
"SPR menjalankan pilihan raya mengikut perundangan sedia ada dan tidak akan mengikut tafsiran sepertimana dibuat oleh pihak-pihak tertentu atau ahli politik," katanya dalam kenyataan semalam.
Abd Aziz berkata tafsiran perundangan bagi kesalahan rasuah tidak boleh ditafsir secara 'literal' (terus) berdasarkan perkataan-perkataan dalam seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 semata-mata.
"Ia perlu dilihat secara menyeluruh, dibuktikan dengan keterangan lisan dan dokumen serta dibuktikan dorongan pemberian adalah untuk mempengaruhi pihak tertentu supaya mengundi parti berkenaan semasa pilihan raya," katanya.
Abd Aziz berkata kenyataannya sebelum ini, mengenai pemberian wang bantuan RM500 kepada penoreh getah oleh kerajaan, pemberian beras oleh MCA dan Gerakan serta pemberian sayur sawi oleh pembangkang bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar telah disalah tafsir.
"Berdasarkan laporan yang dibuat, telah menimbulkan tanggapan seolah-olah SPR telah merumuskan semua perbuatan/pemberian tersebut adalah tidak menyalahi undang-undang pilihan raya," katanya.
Abd Aziz berkata kenyataannya itu perlu dilihat daripada aspek kempen pilihan raya masing-masing, dan setakat ini SPR tidak melihat wujud sebarang masalah atau perlanggaran peraturan dalam kedua-dua PRK itu.
ambahnya SPR tidak pernah menghalang mana-mana pihak membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati wujud perbuatan berkaitan kesalahan rasuah semasa pilihan raya.
Bagaimanapun semua dakwaan mesti dibuktikan dengan keterangan sokongan serta kesimpulan dan tidak boleh dibuat berdasarkan pendapat dan tafsiran sendiri atau laporan akhbar semata-mata.
"Pihak-pihak yang berkepentingan masih mempunyai saluran perundangan untukmembuktikan dakwaan mereka dan bukan tuduhan semata-mata," katanya.
PRK kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, berikutan penyandang kerusi masing-masing,Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad serta Tan Sri Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lepas.
- Bernama

