Keluarga empat kelasi Sarawak, yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 1 April lepas, mendakwa bahawa mereka telah menyerahkan kesemua wang yang dikumpul bagi pembebasan mangsa culik itu kepada pihak polis.

"Kami tidak mempunyai sesen pun wang itu," kata Datuk Lau Cheng Kiong, bapa saudara kepada Johnny Lau Jung Hien, seorang daripada mangsa culik itu.

Beliau berkata wang itu diserahkan kepada polis Cawangan Khas di Sandakan, Sabah pada 24 Mei.

“Kami telah serahkan 12 keping cek Bank Hong Leong yang disimpan di dalam beg kepada polis Cawangan Khas di antara 4 petang dan 6 petang pada 24 Mei," kata Lau ketika ditemui di rumah dua mangsa culik iaitu Wong Teck Kang, 31 dan adiknya Wong Teck Chii, 29 di Pulau Li Hua di Sibu semalam.

Turut hadir seorang lagi mangsa culik, Wong Hung Sing, 34.

Lau berkata keluarga mangsa culik terpaksa memberitahu tentang perkara itu kerana para penderma dan orang awam mahu tahu apa yang berlaku kepada wang yang dikumpul bagi pembebasan mangsa.

Beliau berkata keluarga mangsa tidak berhak menyimpan wang itu dan meminta mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya supaya menghubungi Cawangan Khas atau Bank Hong Leong di Sandakan.

Menurutnya selain derma orang ramai dari negara ini dan komuniti global termasuk dari Papua New Guinea, Taiwan, China dan Kepulauan Solomon, wang itu turut dikumpul melalui pinjaman daripada sanak saudara dan mencagarkan dua hartanah keluarga terbabit di Pulau Li Hua.

Komuniti global memberikan sumbangan selepas satu akaun Facebook dibuka bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, bapa Teck Kang dan Teck Chii, Wong Chie Ming, 55, berkata tiada hari berlalu tanpa tangisan bagi keluarganya sejak dua anak lelaki mereka diculik.

Kesemua mangsa culik itu dibebaskan pada 8 Jun lepas dan kembali ke Sibu pagi kelmarin.

Kemudian, kKesemua mangsa culik itu berlutut dan menundukkan kepala mereka di hadapan jurugambar sebagai tanda terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam usaha pembebasan mereka.

- Bernama