Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank Rakyat tawar pembiayaan 100% beli kereta Proton
Diterbitkan:  Jun 16, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Bank Koperasi Islam terbesar Malaysia, Bank Rakyat hari ini bekerjasama dengan Proton Holdings Bhd (Proton) dengan menawarkan kemudahan pembiayaan kewangan 100 peratus bagi pembelian kereta Proton termasuk Proton Perdana yang baru dilancarkan pada Selasa.

Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata tawaran itu terbuka kepada semua penjawat awam dan swasta yang menepati syarat-syarat pinjaman dan tempoh tawaran itu terbuka sepanjang masa.

"Bank Rakyat sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dan sebagai inisiatif membantu rakyat memiliki produk tempatan, kami tampil dengan tawaran ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan model Proton Perdana baru di ibunegara.

Majlis pelepasan itu diadakan seiring dengan promosi Kempen Beraya Bank Rakyat yang menawarkan Pembiayaan Kenderaan-i serta produk auto yang lain dengan tawaran hadiah wang tunai sehingga RM400,000.

Pada majlis yang sama, turut diadakan program Pautan Ramadan Kacau Bubur Lambuk bertujuan menyemarakkan sambutan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

"Kira-kira 5,000 bungkus bubur lambuk akan diagih di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti KL Sentral, Stesen LRT Bangsar dan Masjid Bangsar bermula 3 petang ini," katanya.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS