Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak kritikal dipercayai dipatuk ular
Diterbitkan:  Jun 16, 2016 3:49 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan kritikal dipercayai dipatuk seekor ular tedung senduk di dalam rumahnya di Kampung Wak Salam di Mersing malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa, Muhammad Iskandar Muhammad Syukri, sedang leka bermain di ruang tamu sebelum disedari ibunya, Nur Jannah Abdullah, 17, apabila mendengar tangisan kanak-kanak itu.

Muhammad Iskandar dihantar ke Hospital Mersing dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, untuk rawatan lanjut.

Nur Jannah yang ditemui pemberita berkata, dia sedang mengemas rumah ketika kejadian dan terus ke sisi Muhammad Iskandar sejurus mendengar tangisan anaknya.

"Saya mendapati kaki kiri Muhamad Iskandar terdapat kesan gigitan dan ketika sedang menyapu ubat di kaki terbabit, saya ternampak seekor ular tedung senduk berdekatan lalu memanggil suami yang ketika itu baru sahaja pulang dari kerja," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Nur Jannah berkata suaminya, Muhammad Syukri Abdullah, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai, terus menangkap dan membunuh ular tersebut dengan bantuan jiran berhampiran lalu membawa anak mereka ke Hospital Mersing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS