Mah: Jangan heret Teluk Intan dalam kempen PRK
Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menafikan dakwaan pembangkang bahawa beliau gagal menunaikan janji-janjinya kepada penduduk Teluk Intan selepas memenangi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parliamen itu pada Mei 2014.
Beliau berkata dakwaan oleh calon PAS bagi PRK Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad, terhadapnya adalah tidak berasas kerana pelbagai projek telah dilaksanakan sejak memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan.
"Saya menafikan tuduhan itu, saya harap apabila calon-calon hendak pancing undi, jangan guna Teluk Intan sebagai contoh, itu tidak adil kepada Teluk Intan," katanya.
Beliau mengulas dakwaan tersebut dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Bergerak Pesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur (KLESF) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan di Sekinchan, dekat Sungai Besar semalam.
Beliau berkata antara lain, kerja-kerja awal pembinaan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan telah disiapkan, pelaksanaan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pembukaan lima Pusat Internet 1Malaysia (Pi1M) di kawasan Parlimen itu.
Di samping itu, pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat, bermula dari Banting, Selangor hingga ke Taiping, akan melalui Daerah Hilir Perak, katanya.
PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak esok berikutan Anggota Parliamennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
PRK Kuala Kangsar Akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi (Amanah) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PKR Sungai Besar pula melibatkan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Budiman Mohd Zohdi, Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan calon Amanah, Ustaz Azhar Abdul Shukur.
- Bernama

