Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam di Johor sedia beri bantuan kes kritik kerabat raja

Peguam di Johor sentiasa bersedia untuk memberi bantuan guaman dalam kes-kes yang berkaitan dengan kritikan terhadap kerabat diraja Johor.

Menurut Jawatankuasa Badan Peguam Johor, bantuan guaman sentiasa ada untuk suspek dalam kes-kes sedemikian.

Jawatankuasa itu menegaskan demikian sebagai menjawab kenyataan pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, yang mendakwa sukar untuk mendapatkan peguam di Johor untuk mewakili kes-kes sedemikian.

Pengerusi Jawatankuasa tersebut, S Gunasegaran berkata peguam di Johor bersedia untuk mewakili pengkritik berkenaan.

Menurutnya, jika tiada peguam di Johor untuk berbuat demikian, jawatankuasa itu akan mendapatkan bantuan dari Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

"Setakat yang saya tahu, tiada satu pun kes (di Johor) yang tidak diwakili peguam. Mereka sentiasa akan diwakili oleh peguam sama ada dari Johor atau Kuala Lumpur.

"Kadang-kadang mungkin sukar untuk mendapatkan khidmat peguam di Johor; (dalam keadaan itu) kita akan mendapatkan bantuan dari Majlis Peguam, yang akan menghubungi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk menghantar peguam bagi mewakili mereka," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, beliau berkata tidak pernah berlaku di mana suspek atau tertuduh tidak diwakili peguam.

YBGK ditubuhkan pada tahun 2011 untuk memberi bantuan guaman dalam kes-kes jenayah termasuk jenayah syariah semasa tangkapan, reman dan permohonan ikat jamin.

Gunasegaran berkata, terdapat dua peringkat - reman dan perbicaraan - untuk kes-kes yang berkaitan dengan kritikan terhadap kerabat diraja Johor.

Bagi kedua-dua peringkat itu, katanya, YBGK Johor akan menyediakan bantuan guaman jika suspect atau tertuduh tidak melantik peguam mereka sendiri.

Malah, katanya, pada masa-masa di mana apabila peguam Johor tidak ada, Jawatankuasa Badan Peguam Johor akan menghubungi Majlis Peguam untuk mengatur peguam dari negeri lain untuk menyediakan khidmat guaman itu.

"Dalam beberapa kes, tertuduh telah melantik peguam mereka sendiri dari Kuala Lumpur atau tempat lain."

Bagi mereka yang memerlukan bantuan guaman, boleh menghubungi talian hotline pusat bantuan guaman Johor di 07-2235698.

Semalam, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata Suaram menerima sekurang-kurangnya 13 kes yang berkaitan dengan kritikan terhadap kerabat diraja dalam tempoh separuh pertama 2016.

Bagaimanapun, ia menghadapi pelbagai cabaran termasuk menerima ugutan di laman webnya dan kesukaran dalam mendapatkan khidmat peguam di Johor.

[Baca berita penuh]
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS