Lantikan PTC: ADUN Umno 'macam budak-budak' - DAP
Senator DAP, Ariffin Omar membidas ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid dan dua ahli dewan undangan (ADUN) Umno lain kerana tidak memandang serius pelantikan mereka dalam Majlis Pengangkutan Pulau Pinang (PTC).
Ketiga-tiga mereka sepatutnya menjadi sebahagian daripada 54 anggota, termasuk aktivis NGO dalam PTC dengan menerima surat pelantikan pada 14 Jun yang lalu semasa mesyuarat pertama majlis berkenaan.
Ariffin mempersoalkan peranan wakil-wakil Umno sebagai 'wakil rakyat' apabila mereka enggan menyumbang ke arah penambah baikan rakyat dan negeri ini dengan berkhidmat dalam PTC.
Beliau menyifatkan tingkah laku Jahara bersama Nordin Ahmad(BN-Bayan Lepas) dan Datuk Shah Headan Ayoob Shah Hussein (BN-Telok Bahang) sebagai 'bukan sahaja dikesali, tetapi suatu penghinaan'.
"Apabila peluang diberikan untuk pembangkang mengemukakan pandangan serta menyuarakan perbezaan terhadap projek itu dianggap sebagai penting, mereka abaikan tanggungjawab itu," ujar beliau yang juga naib pengerusi DAP kepada Malaysiakini.
"Tiada perancangan yang sempurna, termasuklah oleh PTC. Jadi, mengapa tidak periksa ia secara kritis dan menyumbang untuk menjadikannya lebih baik," tanya beliau.
Mengisi makna peranan pembangkang negeri
Pada 13 Jun yang lalu, Jahara mengeluarkan kenyataan mengenai ketidak hadiran wakil-wakil rakyat BN pada mesyuarat PTC yang pertama itu kerana masih belum menerima terma rujukan pelantikan mereka agar boleh mengkaji peranan, fungsi dan skop kuasa jawatan tersebut.
Ahli-ahli PTC ditugaskan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan negeri mengenai isu pengangkutan awam termasuk rancangan kerajaan negeri untuk mengatasi kesesakan lalu lintas melalui pelan induk pengangkutan RM27 bilion.
Ariffin berkata, di Pulau Pinang, di sebalik ketidak sempurnaan, DAP selaku parti pemerintah bersedia untuk memberi peranan dan fungsi kepada pembangkang, namun malangnya, mereka memilih.
Berbanding di negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan Umno-BN, pembangkang dianggap sebagai masalah dan gangguan selain tidak dibenarkan untuk berfungsi secara bermakna.
"Adakah para pemimpin pembangkang di Pulau Pinang benar-benar memahami peranan dan fungsi mereka," tanya Ariffin lagi.
"Sudah tiba masanya untuk beralih daripada permusuhan yang merosakkan hubungan antara pihak pemerintah dan pembangkang di negeri-negeri dalam Malaysia," katanya.

