'Afidavit Dr M pada Najib bukan khabar angin'
Afidavit oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bukan berasaskan khabar angin, hujah peguam bekas presiden MCA Tun Ling Liong Sik.
Peguam Lim dalam penghujahan bertulis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, afidavit itu adalah untuk mengesahkan kenyataan Mahathir terhadap Najib, bukan sama ada ulasan itu benar atau tidak.
Najib menyaman Ling kerana menggesa perdana menteri itu meletakkan jawatan dan mendakwa bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam.
Ling telah memasukkan afidavit Mahathir sebagai sebahagian daripada pembelaannya dan saman balas terhadap Najib.
Peguam perdana menteri, bagaimanapun mahu membatalkan afidavit Mahathir dan mengatakan ia adalah khabar angin.
"Afidavit itu adalah berdasarkan posting blog Mahathir. Tiada dokumentasi untuk menyokong apa yang dia katakan, jadi afidavitnya adalah khabar angin," kata peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun kepada pemberita selepas permohonan itu dibuat dalam kamar.
Dalam afidavitnya, Mahathir mengaku mendesak peletakan jawatan Najib dan menuduh perdana menteri berbohong di khalayak ramai, mencuri, melakukan rasuah, pengubahan wang haram dan melemahkan perlembagaan dan sistem undang-undang.
Peguam bela Yeoh Cho Keong menegaskan bahawa Najib bersikap memilih dalam keputusannya untuk menyaman Ling kerana perdana menteri tidak menyaman Mahathir kerana mengatakan perkara yang lebih buruk.
Mahkamah memutuskan pada 18 Julai sama ada atau tidak meluluskan permohonan untuk membatalkan afidavit Mahathir.

