Berdepan kritikan dan keraguan terhadap institusi zakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini berkongsi pengakuan seorang doktor bukan Islam berkaitan keberkesanan bantuan itu di hospital.

Jakim memuat naik tulisan seorang individu yang membidas pihak yang menuduh pejabat zakat tidak membuat kerja, sedangkan yang berlaku sebaliknya.

“Kes macam ini selalu sangat keluar dalam media, keluar dalam Internet. Dah puas maki hamun pejabat zakat, tiba-tiba dapat tahu sebaliknya.

“Kemudian langsung tak ada rasa bersalah atau nak minta maaf dan fitnah itu pun berterusan 'berjalan',” menurut individu itu.

Beliau berkongsi pengakuan seorang doktor bukan Islam yang menghantar mesej sebaliknya kepada beliau.

Menurut beliau, doktor itu mengakui zakat banyak membantu golongan miskin di hospital, terutama pesakit yang mengalami kecederaan otak dan terlantar di katil.
“Zakat memberi sumbangan dari segi kewangan dan peralatan. Jadi zakat yang didermakan sampai kepada pihak yang memohon.

“Bantuan ini lebih cepat berbanding pihak lain,” menurut beliau, seperti disiarkan semula oleh laman sosial Facebook Jakim.