Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes pembunuhan calon PKR, Bill Kayong yang ditembak mati, pagi ini.

Oleh itu, Khalid menggesa saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut agar tampil untuk membantu proses siasatan.

"Buat masa ini, saya minta tiada spekulasi dibuat kerana kami akan menyiasat perkara ini bagi menentukan motif pembunuhan dan menangkap mereka yang terlibat," katanya.

Khalid turut mengesahkan bahawa pegawai dari ibu pejabat polis Bukit Aman akan dihantar ke Sarawak untuk membantu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak yang mengetuai siasatan.

"Kita tidak mahu kalau-kalau ada yang terlepas. Ini adalah satu kes yang sangat sensitif kerana ia boleh membawa kepada spekulasi. "

Khalid, bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan motif di sebalik pembunuhan itu pada masa ini.

Bill, calon PKR bagi kawasan Bekenu ditembak semasa berhenti di lampu isyarat berhampiran Emart One Stop Shopping Mall di Senadin.

Mangsa yang berusia 43 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid turut mengulangi polis tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan wan tebusan yang dibayar oleh keluarga mangsa bagi membebaskan empat mangsa oleh kumpulan militan Abu Sayyaf.

“Saya telah katakan kami tidak terlibat langsung dalam membayar wang tebusan, jadi, tiada apa yang hendak diulas,” jelas beliau.

Keluarga mangsa culik itu masih lagi menegaskan bahawa mereka memberikan RM12 juta kepada polis untuk tujuan bayaran tebusan.