Prestasi merosot, penganalisis tuding jari pada pembangkang
Pakatan Harapan (HARAPAN) mungkin menyalahkan peratusan keluar mengundi yang rendah ekoran prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya kecil (PRK) berkembar baru-baru ini, tetapi penganalisis politik menuding jari pada pembangkang kerana menyebabkan pengundi berpaling sokongan.
Kegagalannya untuk memastikan pertandingan satu lawan satu adalah antara sebab pengundi tidak menyokong pembangkang, kata penganalisis politik Liew Wui Chern.
Katanya, mereka sepatutnya belajar daripada masalah yang dialami dalam pilihan raya negeri Sarawak di mana , seperti yang didepani oleh DAP, yang sebahagiannya kerana pertembungan banyak penjuru dalam enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pilihan raya negeri Sarawak, DAP dan PKR tewas di enam kerusi, manakala PAS bertembung dengan AMANAH dan PKR di semua 11 kerusi yang ditandinginya. BN Sarawak berjaya memenangi 72 daripada 82 kerusi untuk memperolehi majoriti dua pertiga.
PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun pula menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 71 peratus, berbanding 84.1 peratus pada pilihan raya umum 2013.
Kira-kira 4,800 pengundi di Kuala Kangsar tidak mengundi Sabtu lepas.
Manakala di Sungai Besar, jumlah keluar mengundi ialah 74 peratus berbanding 88 peratus pada tahun 2013. Lebih 10,000 pemilih tidak mengundi.
"Sepanjang kempen, DAP telah menggambarkan pilihan raya kecil itu sebagai titik permulaan bagi Pakatan Harapan untuk menukar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang," kata Liew kepada Malaysiakini.
"Tetapi rakyat terutamanya golongan muda dan kelas pertengahan, tidak tertarik. Harapan mereka lebih tinggi kepada Pakatan Rakyat (yang telah berkubur) untuk mengambil alih Putrajaya, berbanding dengan HARAPAN."
Ketika itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Karpal Singh, berkongsi matlamat yang sama dan mampu menyatukan gabungan tersebut.
"Sekarang ni, nak berpakat bagi satu lawan satu dalam pilihan raya negeri dan PRK pun tak mampu. Adakah anda akan bertelagah merebut jawatan perdana menteri dan menteri sebaik saja ambil alih kerajaan?"
Liew berkata rakyat kelas menengah dan golongan muda mungkin mengambil risiko untuk menukar kerajaan ketika itu, tetapi kini mereka memilih kestabilan, di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu dan ancaman pengganas antarabangsa.
"(Tambahan pula), rakyat tidak lagi merasakan mereka perlu memilih BN atau pembangkang. Jadi, mereka memilih untuk tidak mengundi sebagai tanda protes," katanya.
Barisan pembangkang berpecah
Pengulas politik Tang Ah Chai pula berpendapat bahawa kadar keluar mengundi yang lebih rendah itu disebabkan oleh perpecahan dalam barisan pembangkang.
Katanya, BN tidak kuat atau pun prestasinya hebat tetapi pembangkang telah terlepas peluang untuk menang kerana ia terpaksa berhadapan dengan masalah dalaman.
Beliau juga menegaskan bahawa gerakan pembangkang merosot kerana ketiadaan Anwar, yang dilihatnya mampu menyelaraskan persaingan dalam PRK berkembar itu.
Bagaimanapun, Tang berkata, peratusan keluar mengundi yang lebih rendah juga ketara dalam PRK sebelum ini di mana rakyat merasakan undi mereka tidak signifikan untuk membawa perubahan.
Sebagai contoh, PRK Teluk Intan pada 2014 menyaksikan 66.5 peratus keluar mengundi, berbanding dengan 80.4 peratus dalam pilihan raya umum 2013 (PRU-13).
Dalam PRK Rompin pada 2015, hanya 73 peratus keluar mengundi - merosot 14 peratus berbanding ketika PRU13.
PRK Bukit Gelugor 2014 juga menyaksikan hanya 56 peratus keluar mengundi, berbanding 86 peratus pada 2013.
"Pengundi tempatan tidak melihat PRK sebagai sesuatu yang signifikan," kata Datuk Mohamed Mustafa Ishak, ketua kluster politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa, Majlis Profesor Negara.
Menurutnya, tidak ada tarikan yang kuat bagi mereka untuk mengundi (dalam dua PRK kembar itu) kerana mereka merasakan ia tidak akan mengubah apa-apa - sama ada pembangkang atau BN menang.
Ada yang memutuskan mereka akan hanya mengundi dalam pilihan raya umum akan datang, kata Mohamed Mustafa.

