Jika ada dua perkataan untuk menggambarkan aktivis politik Bill Kayong yang dibunuh semalam, adiknya berkata, ia adalah "jujur dan setia"

Bercakap kepada Malaysiakini Gaby Kayong mengimbau bagaiana Bill yang dikenalinya adalah seorang yang meyakini apa yang dipercayainya dan tidak pernah mengelak untuk menghulurkan bantuan.

Kata Gaby, Bill, 43, hanya menjadi aktivis Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya lagi, Bill adalah anak ke-11 daripada 12 adik beradik.

Keputusan Bill untuk terbabit dalam kempen NCR, kata Gaby, mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan penduduk kampungnya.

Bagaimanapun Gaby tidak tahu menahu sama ada abangnya itu mempunyai musuh, apa lagi kemungkinan ada orang mahu membunuh bapa kepada dua anak itu.

"Dia jarang bercakap dengan sama mengenai hal peribadi. Setakat yang kami tahu, dia tidak ada masalah," katanya.

Bill yang juga calon PKR untuk kerusi DUN Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu ditembak mati di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Baram dan berhampiran sebuah pasar raya.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 pagi dan Bill terbunuh di tempat kejadian.

Dalam pilihan raya negeri lalu Bill kalah kepada calon BN, Rosey Yunus.

Kata Gaby kedua-dua anak Bill masih terkejut dengan pembunuhan semalam dan langsung tidak menyangka ada orang mahu membunuh bapa mereka.

Katanya, mereka masih belum menentukan di mana mayat Bill akan disemadikan dan apakah perancangan untuk kedua-dua anak mangsa.

"Ia akan ditentukan apabila kami berkumpul dan berbincang," katanya.

[Baca berita asal]