Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengecam tindakan keterlaluan sesetengah pihak yang melontarkan label-label yang menghina selepas kehilangan modal politik.

Katanya, mereka yang menyifatkan penerima bantuan kerajaan sebagai “pemakan dedak” cuba merendahkan bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan.

Walaupun dia tidak menyebut sebarang nama, kenyataan beliau jelas merujuk kepada bekas mentornya yang kini menjadi seteru, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hari baik, bulan baik ini, ada pula sesetengah pihak yang semakin lama semakin keterlaluan dalam tutur kata mereka.

“Bantuan kerajaan selama ini untuk membantu rakyat dilabel seperti memberi dedak kepada haiwan,” katanya dalam satu posting di Facebook.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN membina rumah-rumah, jalan raya dan sekolah-sekolah untuk rakyat, dan ini tidak boleh disamakan dengan memberi mereka makan dedak.

“Dedak itu makanan haiwan, tidak patut disamakan dengan bantuan yang diberikan kerana kita prihatin dengan keperluan rakyat.

“Janganlah ada yang kehilangan modal politik kini bermain pula dengan retorik dan kata-kata kesat dan merendahkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Mahathir dan konconya sering-kali menuduh mereka yang menyokong Najib sebagai "pemakan dedak" atau yang telah “dibeli”.

Bekas perdana menteri itu menerima tamparan dalam usaha untuk menumbangkan Najib apabila gesaannya kepada pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk menolak perdana menteri tidak diendahkan.

BN memenangi kedua-dua pilihan raya kecil itu dengan majoriti besar.