Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW) menyeru pelbagai pihak termasuk ahli parlimen dan pemimpin masyarakat sivil supaya mempertahankan integriti dan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berikutan laporan mengenai rombakan SPRM yang akan menyaksikan peletakan jawatan Tan Sri Abu Kassim Mohamed selaku Pesuruhjaya SPRM dan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull selaku timbalannya tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif NOW Rafizi Ramli dan Akmal Nasir mendakwa pelucutan jawatan itu tidak dibuat secara sukarela sepertimana dilaporkan media.

Mereka mendakwa dihubungi seorang pegawai kanan SPRM kira-kira lima bulan lalu yang memaklumkan kedua-dua pimpinan tertinggi SPRM itu dipaksa meletak jawatan dan akan digantikan dengan 'orang luar' suruhanjaya itu .

"Tindakan memecat pesuruhjaya dan timbalan pesuruhjaya SPRM merupakan campur tangan politik yang begitu luar biasa dalam badan SPRM, menghina kebebasan SPRM, dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

"Ini merupakan tindakan pertama kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selepas mencapai kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut mereka, pelucutan jawatan Abu Kassim dibuat tanpa sebab munasabah sedangkan beliau akan kekal berkhidmat dalam SPRM sebagai seorang pegawai khidmat biasa sehingga tahun 2020.

Sehubungan itu NOW akan memanggil satu mesyuarat tergempar pada Isnin depan melibatkan ahli-ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan NGO bagi membincangkan tindakan susulan.

Antaranya mendesak ahli-ahli Parlimen terutamanya daripada parti-parti pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah untuk meletakkan jawatan sebagai tanda protes.

Mereka adalah Dr Tan Seng Giaw (DAP), Datuk Fauzi Abd Rahman (KEADILAN) dan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS).

Selain itu NOW juga mendesak ahli-ahli panel dalam jawatankuasa-jawatankuasa bebas SPRM seperti Lembaga Penasihat SPRM, Panel Penilaian Operasi (PPO), Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) termasuk yang baru dilantik untuk meletakkan jawatan sebagai tanda protes.