Walaupun mengakui ada cubaan campur tangan dalam sesetengah siasatan yang dikendalikannya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata ini tidak pernah menghalang mereka daripada meneruskan siasatan mereka.

"Sudah tentu ada campur tangan... ada campur tangan. Tetapi saya tidak akan benarkan campur tangan untuk menghentikan siasatan kami.

"Tidak pernah dalam sejarah, sejak saya mengambil alih operasi, kertas (siasatan) dihentikan ketika tengah-tengah siasatan," katanya dalam video rasmi yang dimuat naik di Youtube.

Walaupun beliau tidak menjelaskan dalam rakaman video yang dimuat naik pada 6 Jun jenis campur tangan yang SPRM berdepan, katanya di bawah pengawasannya suruhanjaya itu tidak pernah berhenti menyiasat kerana campur tangan mahupun arahan daripada sesiapa.

"Untuk perhatian, dari mula hingga sekarang, tiada siapa yang boleh campur tangan dalam siasatan kami, tiada siapa yang boleh mengarahkan SPRM untuk buat ini, buat itu, ... tidak ada. Siasatan adalah kuasa kita.

"Saya tidak akan membenarkan sesiapa untuk campur tangan, saya tidak benarkan pegawai saya menghentikan siasatan, sekali disiasat kita mesti menyelesaikan setiap kertas siasatan," katanya.

Walaupun Shukri mengakui bahawa suruhanjaya itu boleh meneruskan siasatan tanpa campur tangan atau arahan, namun tidak ada apa yang boleh beliau lakukan bagi menentukan sesuatu kes berkenaan di bawa ke mahkamah.

"Saya tidak pernah mempersoalkan keputusan sama ada untuk mendakwa ataupun tidak mendakwa.

Ini bukan kuasa saya, kamu perlu faham bahawa terdapat pembahagian kuasa antara penyiasatan dan pendakwaan," katanya dalam video itu.

[Baca berita penuh]