Laman Reformasi di tapak baru selepas diceroboh
Laman web proreformasi yang diceroboh minggu lalu, Laman Reformasi kini berubah ke tapak baru dengan "semangat perjuangan yang tidak akan pudar."
Laman tu kini boleh dicapai di [#1] www.mahazalim.net. [/#] Bagaimanapun reka letak laman itu masih sama.
Laman proreformasi itu, paling popular kerana kritikan kerasnya, gagal dicapai Sabtu lalu. Pada muka surat depannya tertera foto Perdana Menteri sedang menari dan disertai slogan "Hidup YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, hidup Barisan Nasional, hidup Melayu, hidup Pemuda Umno."
Penceroboh itu memperkenalkan dirinya 'Lord Xidius' dan mendakwa dirinya 'seorang SB (polis Cawangan Khas) Bukit Timah (Singapura)' . Penceroboh itu meninggalkan alamat e-eml lordxidius@yahoo.com.sg .
Serangan terhadap laman web itu bagaimanapun dipertikaikan oleh beberapa pihak daripada gerakan reformasi, antaranya mendakwa ia telah "berpaling tadah."
"Memang tidak dinafikan kebelakangan ini wujud beberapa telahan dan tohmahan terhadap Laman Reformasi , namun percayalah ia dapat menggugat semangat perjuangan ini," kata pengendali Laman Reformasi , dalam satu kenyataan hari ini.
"Apabila kita semua mula hilang punca dan bibit perpecahan mula timbul, maka mudahlah bagi pihak musuh untuk memporak-perandakan kita dalam keadaan kita sendiri tidak tahu yang mana lawan dan yang mana kawan."
Laman itu yang diwujudkan sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 sering mendedahkan keburukan kerajaan dan mengecam kepimpinan negara, khususnya beberapa pemimpin tertinggi yang dipercayai terlibat menjatuhkan Anwar daripada kerajaan.
Pemimpin kerajaan pula mendakwa bahan-bahan yang diterbitkan laman itu mengandungi fitnah, khabar angin dan bersifat hasutan.
Tahun lalu laman ini pernah diceroboh dan muka depannya digantikan foto lucah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.