Terjemahan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa kerajaan supaya menarik balik Perintah Kediaman Terhad yang dikenakan terhadap lima orang pelajar yang dibebaskan dengan bersyarat daripada tahanan ISA semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, GMI membantah tindakan kerajaan meletakkan mereka di bawah Akta Kediaman Terhad 1933 mulai semalam.

Setiausaha GMI, Chang Lih Kang berkata, melalui akta tersebut Menteri Dalam Negeri boleh, jika didapati perlu, memerintahkan seseorang itu tinggal di daerah tertentu.

Akta itu pada asalnya digunakan terhadap pesalah berulang, anggota kongsi gelap, dan mereka yang dianggap boleh menganggu ketenteraman masyarakat.

Kelima-lima pelajar terbabit dikenakan perintah kediaman terhad di negeri asal mereka di Kedah, Kelantan, Johor dan Selangor.

Empat daripadanya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini manakala seorang lulus cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Mereka ialah Abi Dzar Jaafar, 18; Eddy Erman Shahime, 19; Mohd Radzi Abdul Razak, 19, dan Mohd Ikhwan Abdullah, 19, semuanya lulus cemerlang SPM manakala Mohamad Akil Abdul Raof, 21, mengambil STPM.

Mereka adalah antara 13 pelajar Malaysia di Pakistan yang ditangkap pihak berkuasa negara itu pada 20 September 2003 kerana dikaitkan dengan rangkaian Jemaah Islamiah (JI). Sekembali mereka ke Malaysia, mereka ditahan mengikut ISA selama dua tahun sejak November 2003.

Anggota keluarga masih ditahan

Ketika dihubungi, Chang berkata bapa Mohd Ikhwan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Geo-info di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, masih ditahan di Pusat Tahanan Kamunting sejak Januari 2002 kerana didakwa terbabit dengan rangkaian JI.

Katanya, bapa Eddy Erman Shahime Remli and abang Mohamad Akil Mohd Fadhali Abdul Raof yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam JI masih ditahan di Kamunting.

"Bagaimanapun, bapa Muhammad Radzi Abdul Razak Baharuddin, seorang guru besar telah dibebaskan November tahun lalu," tambahnya.

ISA membenarkan seseorang yang disyaki, ditahan tanpa bicara. Selepas ditahan selama dua tahun, Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri mempunyai budibicara untuk melanjutkan lagi tempoh tahanan.

Turut dibebaskan semalam ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Min Wan Mat, 45, yang juga diletakkan di bawah Akta Kediaman Terhad.