Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AirAsia mohon KLIA2 jadi hab tambang rendah serantau
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 6:10 AM
Dikemaskini: Jun 24, 2016 3:56 AM

AirAsia Group secara rasmi membuat permohonan bertulis kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan
kementerian berkenaan supaya mempertimbangkan permintaannya untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai hab penerbangan tambang rendah serantau.

Langkah itu adalah usaha ke arah melonjakkan Kuala Lumpur sebagai "Dubai Timur".

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata syarikat penerbangan itu telah bersedia bekerjasama dengan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) bagi manfaat industri penerbangan tempatan dan rakyat Malaysia.

Susulan beberapa salah faham yang timbul berhubung isu itu baru-baru ini, beliau berkata, AirAsia mahu menjelaskan beberapa perkara berkenaan kempen berterusannya untuk menjadikan klia2 sebagai hab penerbangan tambang rendah
(LCC) di rantau ini, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata AirAsia tidak berhasrat mengubah kod rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang telah berdaftar dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sebagai "KUL".

"Untuk rekod, apabila AirAsia beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCC) (klia2), kod lapangan terbang itu juga adalah "KUL". Terminal lapangan terbang itu , bagaimanapun, dinamakan Terminal LCC -- iaitu Terminal
Penerbangan Tambang Rendah.

"Kami berharap dapat mula menamakan terminal lapangan terbang itu sebagai LCCT2, yang merupakan identiti sebenar terminal berkenaan. Ini disebabkan MAHB enggan menerima lapangan terbang itu adalah untuk penerbangan tambang rendah," katanya.

Aireen berkata walaupun MAHB menjelaskan bahawa Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA dan klia2 akan menjadi sebahagian daripada hab bersepadu, tiada bukti sokongan terhadap kenyataan itu.

"Hab bersepadu sepatutnya turut termasuk kesalinghubungan yang lancar antara terminal untuk menggalakkan penumpang saling berhubung di samping melonjakkan perjalanan bagi perkhidmatan penuh dan penerbangan tambang rendah.

"Bagaimanapun, kekurangan tren pengantara dan bas yang menghubungkan MTB kepada klia2 jelas menunjukkan terminal itu bukan sebahagian daripada hab bersepadu. Penumpang dikenakan bayaran RM2 sehala bagi menggunakan satu-satunya tren yang menghubungkan kedua-dua terminal itu yang beroperasi dengan jadual tidak menentu," katanya.

Syarikat itu turut mencadangkan MAHB menumpukan kepada strategi dwi-hab.

MTB KLIA boleh diterajui oleh syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines yang disokong oleh pakatan One World, manakala klia2 boleh dijadikan hab penerbangan tambang rendah rantau ini, katanya.

"Trafik penerbangan AirAsia berkembang hampir 50 peratus bagi setiap suku, dengan lebih ramai pengembara ke Kuala Lumpur dan menggunakannya sebagai hab transit.

"Jika MAHB boleh menerima kepentingan LCCT2 (klia2) sebagai hab penerbangan tambang rendah, kita boleh bekerjasama untuk mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur dan mendapatkan semula kedudukan sebagai hab penerbangan tambang rendah terbesar di Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok" katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS