Beberapa ahli Parlimen hari ini mempertikaikan penyiaran iklan Kempen Budi Bahasa yang memaparkan seorang pemuda Melayu tidak berbudi bahasa dan mendesak ia ditarik balik kerana memberi tafsiran negatif terhadap generasi muda khususnya kaum Melayu di negara ini.

Menurut Bernama , Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) berkata iklan itu tidak mencerminkan identiti dan budaya orang Melayu yang mementingkan kesantunan dan budi bahasa.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya iklan tersebut dihentikan mulai malam ini ataupun esok "kerana ia tidak cerminkan budaya kita".

Menurutnya, apatah lagi iklan itu menunjukkan pemuda tersebut sebagai berpendidikan dengan memakai tali leher yang menunjukkan dia sebagai seorang eksekutif.

Berucap membentangkan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, Rosli bersetuju dengan pandangan Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) yang sebelum itu yang bangun meminta penjelasan daripada Rosli.

Mohd Alwi yang turut mempertikaikan iklan dalam sebuah transit aliran ringan (LRT) itu berkata, beliau tidak bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman tetapi paparan itu, katanya, bertentangan dengan budaya Melayu yang mementingkan pemupukan budi bahasa.

"Jadi kenapa dipaparkan hanya pemuda Melayu yang kurang ajar?" katanya.

Rosli ketika berhujah lanjut tentang perkara itu berkata masalah utama yang wujud pada iklan itu ialah ketiadaan kepelbagaian.

Kempen Budi Bahasa

Katanya, kementerian berkenaan hanya mengeluarkan sebuah iklan sahaja yang memaparkan ketidaksantunan masyarakat di Malaysia dan ini sekaligus memberikan lebih kesannya terhadap bangsa yang diwakili oleh watak dalam iklan tersebut.

Isu itu turut menarik perhatian beberapa lagi ahli Parlimen lain yang bangun meminta penjelasan daripada Rosli antaranya termasuklah Datuk Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam) dan Mohd Razali Che Mamat (BN-Kuala Krai).

Mohd Razali misalnya berpendapat setiap iklan mempunyai mesej dan terbuka kepada intrepretasi masyarakat yang juga boleh mentafsirkannya mengikut kefahaman sendiri.

Oleh itu, katanya, adalah tidak wajar iklan Kempen Budi Bahasa itu dihentikan semata-mata kerana paparan yang dibuat hanya meliputi sikap kurang ajar seorang pemuda Melayu.

Mat Yasir pula berpandangan walaupun iklan itu mempunyai kelemahannya ia masih membawa mesej tertentu yang mengimbangi kelemahan itu.

Rosli turut membangkitkan kemelut sekolah kebangsaan yang pada pandangannya memerlukan satu kajian terperinci bagi mengenalpasti faktor ia gagal menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.

"Adakah sekolah kebangsaan mempamerkan imej ia sekolah Melayu? Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia sepatutnya mencerminkan kebangsaan iaitu sesuai untuk semua bangsa," katanya.

Komposisi guru

Manakala Mohd Alwi pula berpandangan faktor sebenar bukan saja kerana imej sekolah tetapi juga faktor-faktor lain seperti komposisi guru.

"Soalnya sekarang orang Melayu meminta sekolah kebangsaan lebihkan keIslamannya, manakala bukan Melayu kata ia terlalu keIslaman dan bukan Melayu juga tidak mendapat gambaran sekolah kebangsaan akan memelihara identiti bangsa mereka.

"Dulu semua ini tidak menjadi masalah kerana zaman saya dahulu guru-guru yang mengajar saya adalah pelbagai bangsa, tetapi sekarang kita tengok komposisi guru hanya dikuasai oleh satu bangsa sahaja," katanya ketika meminta penjelasan daripada Rosli.

Mohd Alwi berkata bila semua itu dipertimbangkan Kementerian Pelajaran sebenarnya terpaksa melihat kepada skop yang lebih luas termasuk faktor mengapa kerjaya guru gagal menarik minat bangsa lain, bukan sekadar memperkasakan sekolah kebangsaan ataupun isu penambahan sekolah jenis kebangsaan.

Rosli turut mencadangkan agar setiap kawasan Parlimen mempunyai sebuah sekolah berasrama penuh atau menaiktaraf sekolah harian menyamai kemudahan dan kelengkapan sekolah berkenaan.

"Sekarang terlalu ramai pelajar yang cemerlang tetapi tidak berjaya ditempatkan di sekolah berasrama penuh, akibatnya mereka terpaksa belajar di sekolah-sekolah biasa yang kita tahu tidak menyediakan kelebihan daripada kemudahan untuk pelajar," katanya.