Suspek pengeboman Bali dibebaskan dari tahanan ISA, kata pegawai
Terjemahan Bekas pensyarah universiti yang disyaki turut memainkan peranan dalam pengeboman Bali pada tahun 2002, telah dibebaskan daripada tahanan di Malaysia, demikian menurut pegawai hari ini.
Terjemahan Bekas pensyarah universiti yang disyaki turut memainkan peranan dalam pengeboman Bali pada tahun 2002, telah dibebaskan daripada tahanan di Malaysia, demikian menurut pegawai hari ini.
Wan Min Wan Mat, 45, ditahan di Kem Tahanan Kemunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak September 2002.
Beliau memberi keterangan bertulis pada 2003, yang dibaca oleh pihak pendakwa sewaktu perbicaraan salah seorang yang didakwa melakukan pengeboman di Bali.
Pada masa ini, Wan Min didakwa oleh pihak polis Indonesia sebagai perancang serangan ke atas kelab malam di Bali yang mengorban 200 orang yang sebahagian besarnya pelancong asing.
Wan Min menafikan mengetahui apa-apa mengenai serangan tersebut, tetapi mengaku, dalam kenyataannya itu, dia menghantar AS$30,500 dalam tiga ansuran, kepada ahli kanan kumpulan ekstrem Jemaah Islamiyah (JI) untuk membiayai "operasi di Indonesia seperti yang dirancang sebelumnya" di Bangkok.
Katanya, dia percaya pengebom di Bali itu terpengaruh dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dan serangan tersebut bertujuan untuk "memberi amaran kepada rakyat asing Amerika dan Australia yang melancong ke Bali dan orang kafir yang menjadi musuh Islam".
Bagaimanapun, Wan Min dikenakan perintah kediaman terhad di bandar Kota Baru, ibu negeri Kelantan, mulai semalam, dan mesti melaporkan diri kepada pihak polis setiap hari.
"Ini menunjukkan dia tidak lagi merupakan ancaman kepada keselamatan negara, tetapi pihak polis akan mengawasi pergerakannya," kata satu sumber kerajaan kepada AFP.
Pelajar turut dibebaskan
Turut dibebaskan Isnin lalu ialah lima pelajar yang didakwa dilatih di Afghanistan dan Pakistan sebegai pemimpin generasi baru JI, kata para pegawai.
Mereka ditahan pada bulan September 2003 selepas dibebaskan dan dihantar pulang ke Malaysia oleh pihak berkuasa Pakistan, di mana mereka belajar di sebuah sekolah agama di sana.
Laporan ketika itu menyebut, mereka telah menjalani latihan di Afghanistan untuk melancarkan pengeboman dan serangan terhadap kepentingan Amerika di Malaysia dan di seluruh dunia.
Tidak seorang daripada mereka didakwa di mahkamah.
Akhbar Utusan Malaysia memetik sumber polis sebagai berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk membebaskan mereka kerana mereka telah menunjukkan reaksi yang positif terhadap program pemulihan dan tidak lagi merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Malaysia masih menahan lebih 90 mereka yang disyaki anggota militan Islam di bawah ISA yang membenarkan penahanan mereka tanpa dibicarakan.
Ramai daripada mereka disyaki anggota JI, yang dituduh bertanggungjawab terhadap siri serangan dan pihak berkuasa percaya mereka juga mempunyai hubungan al-Qaeda.
- AFP

