Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Datuk Ibrahim Ali berkata, PERKASA tidak akan masuk campur dalam isu pemecatan bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut Ibrahim, perkara yang terjadi terhadap bekas pemimpin Umno itu merupakan sebahagian daripada asam garam politik.

Sehubungan itu, bekas anggota parlimen Pasir Mas itu berkata, kejadian yang berlaku terhadap anggota parlimen Pagoh dan Jerlun itu pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.

"Hal pemecatan Mukhriz dan Muhyiddin saya tak nak masuk campur. Itu urusan Umno. Pada saya, dalam politik ini ada asam garamnya.

"Ini politik Umno. Sama ada keputusan itu meruntuhkan Umno atau tidak itu hak Umno. Rakyat akan menilai.

"Saya tak ada nasihat (kepada Muhyiddin dan Mukhriz), siapa saya nak beri nasihat cuma sebagai Islam kita kena percaya setiap berlaku ada hikmahnya," katanya yang turut pernah dipecat keanggotaannya dari Umno.

Perjuang prinsip diyakini

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Selain itu, bekas anggota parlimen Pasir Mas itu juga memberitahu bahawa pemecatan seseorang di dalam parti bukan penamat karier politik seseorang.

Mengambil contoh dirinya serta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ibrahim berkata pemecatan boleh menjadi sesuatu yang baik atau buruk.

"Politik bukan mengenai diri anda tetapi komitmen untuk berjuang dengan prinsip yang anda percaya," katanya lagi.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno yang berkata keputusan berkenaan dicapai sebulat suara.

Najib berkata, tindakan kedua-dua mereka berkempen bagi pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Lihat Komen
ADS