Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Euro 2016: Jaga kaki Iniesta, pesan Gentile
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 6:45 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Pertemuan Itali dan Sepanyol tengah malam ini bagi penentuan ke slot suku akhir dianggap seperti perlawanan akhir. Dua gergasi bola sepak dunia itu seolah-olah mahu mengulangi pertemuan akhir Euro 2012.

Justeru, bagi memastikan Itali lebih bernasib baik, legenda skuad Gli Azzurri era 1980-an, Claudio Gentile menyarankan agar anak buah Antonio Conte itu menyekat langkah pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta.

Menurutnya, Iniesta adalah teraju utama skuad La Roja yang perlu dilumpuhkan setiap gerakan dan hantarannya seperti yang pernah dilakukannya terhadap Diego Maradona pada Piala Dunia 1982.

Ketika itu, Gentile beraksi sebagai bek tengah dan berhasil mematahkan setiap pergerakan Maradona.

Justeru, Gentile berharap, pemain Itali dapat memberi perhatian terhadap Iniesta.

"Sepanyol berkelebihan dalam serangan, sedangkan Itali solid di posisi pertahanan. bagi Sepanyol, Iniesta adalah jentera yang menentukan tempo permainan mereka," katanya.

"Selama bertahun-tahun Iniesta beraksi di posisi serangan dan lebih ideal sekiranya Itali dapat memastikan Iniesta tidak mendapat bola.

"Begitulah cara kami menghadapi Maradona," kata penasihat bola sepak Korea Selatan itu.

Apa yang disarankan oleh bekas pemain berusia 62 tahun itu ada benarnya kerana statistik menunjukkan Iniesta menjadi pemain dengan hantaran tertinggi pada saingan peringkat kumpulan Euro 2016 dengan jumlah 262 hantaran.

Lihat Komen
ADS