Terjemahan Pegawai kanan kerajaan Malaysia tidak tahu menahu mengenai laporan majalah Time mengenai penangkapan lima anggota militan Thai di Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho dan Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, berkata mereka tidak mendapat sebarang maklumat mengenai penangkapan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan juga telah menafikan laporan yang sama, sambil menyatakan, setahunya, tidak ada penangkapan tersebut dibuat.

Mengikut laporan majalah Time terbitan terbaru, lima anggota militan Thai itu ditangkap pada 9 Mac lalu dalam satu operasi rahsia yang dilancarkan oleh pihak keselamatan Malaysia di stesen keretapi Sentral Kuala Lumpur.

"Mungkin kerana sensitiviti tangkapan tersebut, jurucakap polis Malaysia telah menafikannya. Tetapi Time telah mengesahkan tangkapan tersebut dengan dua pegawai perisikan Malaysia yang mengetahuinya," kata laporan tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah tujuan kumpulan anggota militan tersebut berada di Kuala Lumpur dan sama ada terdapat anggota lain yang dapat meloloskan diri.

Bagaimanapun, pada malam tangkapan tersebut pada 9 Mac, satu letupan berlaku di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Australia. Polis kemudiannya menafikan ianya ada kaitan dengan serangan pengganas.

Pada hari berikutnya, Kedutaan Amerika Syarikat, dalam satu maklumannya kepada rakyatnya di sini berkata, pihaknya sudah diberi amaran oleh kerajaan Malaysia mengenaji "ancaman yang tidak disahkan dan tidak dapat dikenalpasti" di pusat bandaraya.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia telah menafikan memberi amaran tersebut, dan menganggap ianya sebagai satu percubaan untuk menghakis keyakinan orang luar terhadap negara ini.