Seramai 51 majikan Malaysia terbabit dalam kes tidak membayar gaji kepada pekerja asing tanpa izin Indonesia, membabitkan anggaran upah RM2.4 juta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar berkata berdasarkan laporan daripada Kedutaan Besar Indonesia kepada kementeriannya, kes membabitkan 1,148 pekerja.

"Daripada 51 majikan ini, hanya 34 majikan sahaja yang mempunyai butiran lengkap," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wan Adnan Wan Mamat (BN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, walaupun usaha sedang dibuat bagi menyelesaikan masalah tersebut, tetapi ia mengambil masa kerana beberapa masalah, termasuk pengadu telah pulang ke Indonesia.

Selain itu, katanya, kelewatan itu jua disebabkan alamat majikan yang tidak lengkap, tuntutan mungkin dipertikaikan oleh majikan dan penyelesaian terpaksa dibuat melalui Mahkamah Buruh, dan pengadu tidak membuat aduan rasmi kepada Jabatan Tenaga Buruh Smenanjung Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Wan Adnan, Abdul Rahman berkata 51 syarikat terbabit dikesan selepas kementeriannya menyelidik lebih lanjut pendedahan terawal mengenai dua syarikat yang dikatakan terlibat dalam kes tersebut.

"Syarikat pertama ialah Syarikat Construction Sri Megajaya Sdn Bhd yang melibatkan pekerja seramai 90 orang, dengan gaji yang patut dibayar RM247,500. Tetapi yang mereka sudah bayar sebanyak RM95,000 dan bakinya RM152,500 masih belum dijelaskan atas alasan pekerjaan mereka tidak sempurna.

"Tetapi ini tidak didukung dengan bukti yang kukuh atau fakta yang lebih kemas dan pihak pekerja telah membuat laporan polis di Sungai Buloh sebanyak dua kali dan juga telah menyampaikan laporan kepada kementerian saya dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri," katanya.

Boleh didenda RM10,000

Menurutnya, satu lagi syarikat yang terlibat dalam pendedahan awal itu ialah Syarikat Pembinaan Abdul Malik melibatkan gaji sebanyak RM28,500.

Abdul Rahman berkata syarikat itu telah menjelaskan bayaran sebanyak RM6,000 setakat ini dan bakinya telah dibayar kepada subkontraktor yang didapati gagal menyerahkan baki gaji kepada pekerja.

Pada dasarnya, kata beliau, kerajaan Malaysia tidak perlu membantu pekerja tanpa izin ini kerana mereka sebenarnya tidak dibenarkan bekerja di negara ini atau menerima kontrak pekerjaan dengan mana-mana majikan kerana kehadiran mereka di negara ini adalah secara tidak sah.

"Namun demikian atas perasaan perikemanusiaan, kementerian telah berusaha membantu pekerja tanpa izin yang terlibat mendapatkan tunggakan gaji mereka yang belum dibayar," katanya.

Menurut Abdul Rahman lagi, kebanyakan pekerja tanpa izin ini juga enggan tampil membuat aduan mereka kerana tidak mempunyai bukti atau rekod mengenai pekerjaan mereka.

"Bagaimanapun, jika aduan diterima dari pekerja tanpa izin, kementerian akan berusaha mendapatkan majikan terlibat supaya menyelesaikan bayaran tunggakan kepada pekerja berkenaan," katanya.

Menurut Abdul Rahman, jika ia membabitkan pekerja asing yang sah, majikan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kerja 1955 yang membabitkan denda tidak melebihi RM10,000.