Kuan Yew yakin S'pura punya air mencukupi menjelang 2061
Singapura tidak perlu lagi bergantung kepada bekalan air daripada Malaysia apabila perjanjian air antara kedua-dua negara berakhir menjelang tahun 2061.
Singapura tidak perlu lagi bergantung kepada bekalan air daripada Malaysia apabila perjanjian air antara kedua-dua negara berakhir menjelang tahun 2061.
Keyakinan tersebut disuarakan oleh pengasas Singapura Lee Kuan Yew semasa melancarkan kerja pembinaan baraj marina bernilai S$226 semalam.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, melalui strategi pelbagai Singapura, bekalan air tidak akan putus bagi semua kegunaan menjelang 2061.
"Singapura akan mampu diri dari segi air," kata Lee yang juga merupakan Menteri Mentor.
Pada 1987, selepas kejayaan kempen 10 tahun pembersihan sungai Singapura, Lee yang mencetuskan idea membina sebuah empangan merentangi selat Marina, meramalkan kejayaan teknologi anti pencemaran dan penurasan, akan memungkinkan pembinaan baraj itu.
Apabila siap pada 2007, bendungan di selat Marina seluas 350 meter itu akan membentuk takungan air ke-15 Singapura dan yang pertama di dalam bandaraya dengan satu kawasan tadahan seluas 10,000 hektar atau kira-kira satu perenam daripada saiz Singapura.
Menjelang 2009, ini akan meningkatkan kawasan tadahan air Singapura kepada kira-kira separuh hingga dua pertiga daripada keluasan pulau tersebut.
Akhbar Today memetik Lee sebagai berkata, bersama bekalan dari pengimport air, NEWater dan air masin yang dirawat, republik itu boleh mampu diri dari segi bekalan air menjelang 2061 apabila perjanjian air dengan Malaysia berakhir.
Teknologi membran
Di bawah projek ini, kesemua takungan akan dihubungkan supaya lebihan air dari takungan Marina, yang boleh menyimpan 10 peratus permintaan air Singapura, dapat dipam ke takungan lain, bagi meningkatkan jumlah bekalan air kepada 14 peratus.
Selain membekalkan permintaan semasa harian Singapura sebanyak 300 juta gelen air, baraj Marina juga akan mengurangkan banjir di kawasan rendah di bandaraya dan menyediakan sebuah tasik bagi sukan air.
Lee turut mengemukakan cabaran kepada Lembaga Kemudahan Awam republik itu untuk menapis air industri di Jurong West bagi menambah bekalan air Singapura.
"Menggunakan teknologi membran lebih murah daripada rawatan air masin." katanya.
Harga air yang dibekalkan Malaysia ke Singapura merupakan antara pertikaian berlarutan yang telah menyulitkan lagi hubungan dua hala sejak mereka berpisah secara rasmi menjadi dua negara berjiran pada 1965.
Bagaimanapun keadaan semakin baik sejak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk kuasa pada Oktober tahun lalu dan menggunakan pendekatan ke arah sepakatan.
Antara pertikaiannya ialah penambakan tanah di selat sempit Johor yang melalui Malaysia dan Singapura, tanah kereta api milik Malaysia di republik itu, akses tentera Singapura di ruang udara Malaysia dan cadangan pembinaan jambatan baru berharga satu bilion ringgit yang menghubungkan kedua-dua negara.
Pada 1 Mac, Menteri Kanan Singapura Goh Chok Tong yang menjadi wakil khas Singapura ke Malaysia dan Abdullah, mengadakan perbincangan pusingan kedua di Putrajaya sebagai susulan kepada pertemuan mereka Disember lalu bagi menyelesaikan kebuntuan dalam perundingan.
Kedua-duanya berusaha bagi mencapai penyelesaian baik terhadap pertikaian yang berpanjangan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.