Wan Min nasihat Dr Azhari dan Nordin berfikir secara rasional
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Wan Min Wan Mat, 45, menasihatkan dua bekas rakannya Dr Azhari Hussin dan Nordin Mohd Top yang masih menjadi buruan kerana terbabit dalam kegiatan militan, supaya berfikir dengan rasional atas segala tindakan yang dilakukan mereka selama ini.
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Wan Min Wan Mat, 45, menasihatkan dua bekas rakannya Dr Azhari Hussin dan Nordin Mohd Top yang masih menjadi buruan kerana terbabit dalam kegiatan militan, supaya berfikir dengan rasional atas segala tindakan yang dilakukan mereka selama ini.
"Fikirlah secara rasional. Nak apa lagi, cukuplah (dengan apa yang mereka lakukan sekarang) kerana ia tidak dapat membina perjuangan Islam.
"Walau di mana kamu berada, dengarlah. Apa yang diperjuangkan sekarang cuma merosakkan imej Islam dan mengancam (nyawa) orang yang tidak berdosa," katanya kepada
Bernama
semalam.
Pada mulanya, beliau agak keberatan ketika diajukan soalan mengenai seruannya terhadap dua bekas rakannya Dr Azhari dan Nordin yang kini menjadi buruan polis Indonesia kerana didakwa terbabit dalam pengeboman Hotel J.W. Marriot di Jakarta, Indonesia tahun lalu dan pengeboman pusat peranginan di Bali pada 2002.
"Penglibatan mereka sangat jauh. Takut mereka tak mahu terima seruan saya kerana jika mereka balik mereka tidak akan selamat. Sampai bila nak jadi begini. Tak guna. Fikirlah... Ia hanya merugikan Islam," katanya.
Menjawab soalan lain, Wan Min berkata beliau tidak pasti sekiranya wujud anggota Jemaah Islamiah (JI) yang aktif dalam negara, mahupun di negara jiran seperti Thailand dan Filipina.
"Sebenarnya yang saya tahu tak ada, dan saya ingin melupakan peristiwa silam (pembabitannya dengan Kumpulan Militan Malaysia) dan memulakan hidup baru dalam suasana tenang," katanya.
Mahu cari kerja
Buat masa ini, katanya, beliau mahu berehat bersama keluarga. Beliau kini tinggal di rumah mentuanya di Salor selepas dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting, Taiping, Perak, kelmarin.
"Saya mahu mencari kerja yang sesuai dengan pengalaman dan kelulusan saya dalam `project management and quantity surveyor' dan berharap akan mendapat peluang itu," katanya.
Wan Min sepatutnya dibebaskan pada Oktober 2006 tetapi dibebaskan lebih awal selepas menunjukkan respons positif terhadap program pemulihan di pusat itu dan tidak lagi memberi ancaman kepada negara.
Beliau yang berkelulusan Sarjana (Pembinaan) dari Universiti Manchester, United Kingdom ditangkap pada 27 September 2002 di Kota Bharu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dengan kumpulan militan KMM.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana menahannya mengikut akta itu kerana ia telah menyedarkan beliau yang telah terpesong daripada landasan sebenar.
"ISA tidak zalim. Undang-undang itu perlu bagi menangani sesuatu perkara atau gerakan bawah tanah yang sukar ditangani dengan cara biasa. Ini pandangan daripada isihati saya," katanya.
Menurutnya lagi, beliau telah dilayan dengan baik semasa dalam tahanan dan melalui sesi bertukar pendapat dan perbincangan dengan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan polis yang menjaganya, beliau telah sedar akan kesilapannya dan bersedia membantu kerajaan.
"Saya bersedia membantu kerajaan dalam apa saja. Tetapi setakat ini saya tidak mempunyai sebarang rancangan konkrit," katanya ketika ditanya sama ada beliau mempunyai rancangan untuk membantu Umno di Kelantan.
Enggan minta maaf
Sementara itu, ketika diwawancara oleh AFP , Wan Min yang didakwa bertanggungjawab terhadap pengeboman di Bali hari berkata, dia bersedia membantu menghancurkan pertubuhan tersebut tetapi enggan memohon maaf kepada mangsa korban kejadian tersebut.
Ketika ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa yang hendak dikatakan kepada keluarga mangsa pengeboman di Bali, termasuk 88 rakyat Australia, dia menjawab: "Saya minta maaf, saya tidak dapat menjawab soalan itu".
Wan Min kelihatan tenang dan tersenyum sepanjang wawancara tersebut dan bekas pensyarah itu mengaku menjadi menjadi pemimpin JI dan berkata, dia sekarang bimbang akan keselamatan dirinya kerana dia dilihat telah belot.
"Kami begitu terpengaruh dengan kepimpinan JI dan perjuangannya. Apabila anda masuk sesuatu kumpulan, anda tidak boleh berfikir secara rasional. Kami begitu yakin yang perjuangan kami itu benar. Tetapi itu pada masa dahulu dan kini saya mahu melupakan perkara itu."
Pakar mengenai keganasan berkata JI adalah cawangan kumpulan al-Qaeda Osma Bin Laden bagi rantau Asia Tenggara. Selain pengeboman di Bali, kumpulan itu dijuga didakwa bertanggungjawab melakukan siri pengeboman untuk mencapai cita-citanya untuk mewujudkan sebuah empayar Islam di rantau tersebut.
"Saya pernah menjadi seorang pemimpin JI di Johor pada 2001," kata Wan Min sambil menambah, beliau kini bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membanteras operasi JI, kerana dia menyedari kesilapannya itu ketika berada dalam tahanan.
Ditanya sama ada ulama Indonesia Abu Bakar Bashir merupakan pemimpin spiritual JI, seperti yang didakwa oleh Amerika Syarikat dan Australia, dia ketawa dan berkata: "...jika saya kata iya, banyak lagi soalan yang akan timbul. Jika saya kata tidak pun, banyak juga soalan yang akan timbul. Jadi lebih baik saya tidak menjawabnya."

