Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
15 buah bas angkut penuntut dari Kedah balik beraya

Seramai 500 anak Kedah yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Lembah Klang, selamat tiba di negeri ini pagi tadi untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, Kerajaan Negeri menerusi Barakah Anak Muda menyediakan 15 bas untuk membawa pulang mahasiswa dan mahasiswi negeri ini ke kampung halaman masing-masing.

"Beberapa buah bas telah selamat tiba dua hari sebelum ini dan pagi ini sebahagian besar lagi tiba, melibatkan lapan buah bas yang membawa penuntut dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebagainya.

"Ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk membantu anak-anak Kedah balik beraya kerana kami tahu masalah pengangkutan yang dihadapi mahasiswa dan mahasiswi semasa musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Muafakat Soq Mahasiswa Kedah 2016 mewakili Menteri Besar Kedah, di Sungai Petani hari ini.

Tajul Urus berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan Persatuan Siswa Aman Makmur (Ansar) dari semua universiti, untuk mengumpulkan anak-anak Kedah sebelum dibawa pulang secara berperingkat.

"Bagaimanapun kami hanya dapat menyediakan pengangkutan untuk balik beraya ke kampung sahaja memandangkan tempoh cuti setiap kampus berbeza, dan ini menyukarkan untuk kami menyediakan pengangkutan bagi mereka pulang ke kampus.

"Kesemua anak Kedah yang berada di IPT ialah seramai 17,000 orang namun sebahagian besar daripadanya balik dengan inisiatif sendiri, bagaimanapun kami berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan menyediakan lebih banyak bas," Tajul Urus.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Mohd Noor serta kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO dan Pemuda UMNO Kedah.

Penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Arab UPSI, Nazira Nasir, 21, berkata, ini merupakan kali pertama dia merasai pengalaman pulang beraya di kampung beramai-ramai.

"Penghujung semester, biasanya masalah kewangan membelenggu kami namun dengan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri, ia meringankan beban yang kami tanggung kerana kami tidak perlu bayar tiket bas untuk pulang beraya," katanya yang pulang beraya di Kota Sarang Semut, Pendang.

Penuntut tahun kedua Ijazah Pengajian Al-Quran dan Sunnah UKM, Nor Hafiza Hassan, 22, berkata, dia rasa terharu dan bersyukur dengan inisiatif kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar Kedah yang prihatin dengan anak-anak yang berada di perantauan.

"Sebelum ini saya pulang beraya menaiki bas ekspres dan tambangnya akan naik sehingga RM55 pada musim perayaan, inisiatif ini memang banyak membantu dan diharap diteruskan pada masa hadapan," katanya yang pulang beraya di Alor Setar.

-Bernama

Lihat Komen
ADS