Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8 Julai pelepasan khas jika Aidilfitri jatuh pada 6 Julai
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 12:44 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Kerajaan telah bersetuju bahawa untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas kepada pegawai perkhidmatan awam pada hari Jumaat, 8 Julai ini sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai 2016.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa bagaimanapun berkata, pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.

“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada perdana menteri kerana bersetuju dengan cadangan ini daripada penjawat awam khususnya CUEPACS.

“Sehubungan ini, orang awam yang merancang untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan pada hari pelepasan khas tersebut digalakkan untuk mengunjungi Jabatan dan Agensi yang berkenaan sebelum cuti umum Hari Raya Aidil Fitri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ali berkata beliau berharap penjawat awam akan memanfaatkan pemberian pelepasan khas daripada bertugas itu untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama keluarga dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan produktif apabila kembali bertugas.

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ditetapkan pada petang Isnin, 4 Julai bersamaan 29 Ramadan 1437 Hijrah, menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Katanya, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, anak bulan Syawal akan dilihat di 29 lokasi di seluruh negara iaitu:

JOHOR: Pontian Kecil

MELAKA: Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Tanjung Bidara)

NEGERI SEMBILAN: Telok Kemang (Port Dickson)

SELANGOR: Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra (Banting), Balai Cerap Selangor (Sabak Bernam)

PERAK: Pantai Pasir Panjang (Manjong)

PULAU PINANG: Pusat Falak Sheikh (Pantai Acheh)

KEDAH: Kampung Pulau Sayak (Kuala Muda), Pemandangan Indah (Pulau Langkawi), Menara Alor Setar

TERENGGANU: Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai Cerap KUSZA (Setiu)

KELANTAN: Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling (Kuala Krai), Menara Bangunan SEDC (Kota Baharu)

SARAWAK: Tanjong Lubang (Miri), Teluk Bandung & Tanjung Batu (Kuching) SABAH: Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil (Putatan)

PAHANG: Bukit Tanjong Batu (Nenasi), Gunung Brinchang (Cameron Highlands), Bukit Pelindong (Kuantan)

LABUAN: Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur

PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

PERLIS: Kuala Sungai Baru (Simpang Empat).

Lihat Komen
ADS