Bank Dunia menjangka lebihan akaun semasa Malaysia akan susut lagi tahun ini kepada 2.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding 3.0 peratus tahun lepas.

"Ini berdasarkan penurunan dalam baki komoditi ke atas eksport komoditi disebabkan harga komoditi yang rendah berbanding tahun lalu," kata Pakar Ekonomi Negara Kanan Malaysia, Dr Rafael Munoz Moreno kepada pemberia selepas pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) di ibunegara hari ini.

Beliau berkata, kejatuhan diunjurkan dalam lebihan akaun semasa adalah disebabkan peningkatan import berikutan pelaburan tinggi dilihat di negara ini.

Eksport dalam sektor pembuatan bagaimanapun membantu mengurangkan kejatuhan itu, katanya.

Sebelum itu, Moreno membuat pembentangan mengenai Laporan MEM bertajuk 'Melaksanakan Perjanjian Perdagangan'.

Ketika pembentangan, beliau berkata, lebihan akaun semasa telah menguncup kepada tiga peratus tahun lalu berbanding 4.4 peratus pada 2014, mencerminkan lebihan dagangan yang lebih rendah berikutan kemerosotan harga komoditi serta
defisit lebih tinggi dalam perkhidmatan.

Lebihan akaun semasa merosot lagi kepada 1.7 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2016 disebabkan pembayaran bersih lebih tinggi untuk perkhidmatan pembinaan dan telekomunikasi.

Dilaporkan lebihan akaun semasa Malaysia pada suku pertama tahun ini jatuh kepada RM5.04 bilion, diseret turun oleh lebihan akaun barangan yang lebih rendah serta defisit akaun perkhidmatan yang lebih tinggi.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada keputusan United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah akan menjejaskan ekonomi Malaysia, beliau berkata: "Bank Dunia akan terus memantau situasi ekonomi dunia yang akan mempengaruhi
ekonomi Malaysia dan unjuran pertumbuhannya."

Moreno berkata, ketika ini, unjuran Bank Dunia untuk KDNK Malaysia pada 4.4 peratus untuk 2016 kekal tidak berubah.

"Kami juga tidak menimbangkan kemelesetan untuk ekonomi global disebabkan ini. Unjuran kami untuk pertumbuhan global tahun ini telah disemak semula kepada 2.4 peratus daripada 2.9 peratus," katanya.

- Bernama