Terjemahan Cadangan penubuhan suruhanjayaa antara agama, jika dilaksanakan, boleh menjadi rintangan kepada keharmonian dan perpaduan agama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil mengulangi pendiriannya supaya penubuhan suruhanjaya itu ditangguhkan, Abdullah berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat yang disuarakan melalui perbahasan di media.

"Ini (penangguhan) bukanlah satu rintangan (setback)...jika kita tubuhkan suruhanjaya itu, ia boleh menjadi satu setback (rintangan)," katanya ketika sesi soal-jawab di Dewan Rakyat hari ini.

"Kita kena mengambil kira paras sensitiviti di kalangan rakyat mengenai agama yang berbeza-beza," katanya ketika menjawab soalan daripada Ketua Pembangkan, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Lim ingin tahu sama ada penangguhan penubuhan suruhanjaya itu satu "setback" kepada keharmonian dan perpaduan agama, memandangkan ianya hanya merupakan sebuah badan penasihat, dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mencampuri urusan berkaitan dengan agama.

Abdullah berkata, berdasarkan kepada perjumpaannya dengan pelbagai badan agama sebelum ini, perbincangan mengenai isu-isu berjalan dalam suasana yang baik.

Sebaliknya, kata beliau, jika cadangan untuk mewujudkan suruhanjaya itu diteruskan ianya mungkin menimbulkan "keributan dan bukan ketenangan dan kefahaman."

Telah kaji rang undang-undang

Abdullah juga berkata beliau telah mengkaji rang undang-undang mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama itu yang dihantar kepadanya baru-baru ini dan menegaskan beliau sedia menemui jawatankuasa pemandu penubuhannya.

Perdana Menteri juga berkata, beliau tidak ada masalah untuk menemui mereka, cuma perlu menentukan bila perjumpaan itu dapat diadakan.

Salinan rang undang-undang itu, kenyataan pleno dan lampiran berkaitan, turut dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Maximus Ongkili (perpaduan national) dan Dr Abdullah Md Zin (halehwal Islam).

Kenyataan pleno itu disediakan selepas rang undang-undang tersebut dibincangkan oleh kira-kira 200 peserta dalam persidangan peringkat kebangsaan yang diadakan bulan lalu. Bagaimanapun, persidangan dua hari itu tidak dihadiri oleh wakil badan-badan utama Islam di negara ini.

Cadangan penubuhan tersebut diselaraskan oleh jawatankuasa kecil hak asasi manusia Majlis Peguam selepas mengadakan satu bengkel mengenainya pada tahun 2003.

Sebelum ini, Abdullah meminta supaya cadangan penubuhan suruhanjaya itu ditangguhkan dan sebaliknya mencadangkan supaya diadakan lebih banyak lagi dialog antara agama.

Beliau juga dilaporkan menasihatkan supaya tidak dibangkitkan isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat pelbagai agama di Malaysia.

Ketika merasmikan persidangan dua hari itu bulan lalu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata inisiatif tersebut baik untuk keharmonian dan perpaduan nasional.

Ketika ditanya mengenai komen perdana menteri mengenai perkara itu hari ini, Rais berkata: "Saya rasa kita perlu meneruskan perbincangan antara agama. Setiap ketua agama hendaklah tampil kehadapan untuk bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain. Tanpa suruhanjaya tersebut pun, ia tidak bermakna kita mesti memberhentikan perbincangan seumpama itu."

"Suruhanjaya itu sebenarnya adalah satu rangka-kerja undang-undang, tetapi terdapat banyak lagi rangka-kerja lain yang boleh dimanfaatkan, yang mana tidak dilakukan. Jadi kita bina dulu rangka-kerja di dalam entiti bukan perundangan...kemudian kita (akan) capai kedudukan yang harmoni," katanya kepada malaysiakini.