Suruhanjaya polis serah laporan kepada Agong bulan depan
Laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya telah diberitahu oleh Tun (Mohamed) Dzaiddin (Abdullah) yang laporan itu akan siap bulan April ini dan akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Dzaiddin adalah pengerusi suruhanjaya itu yang ditubuhkan Februari tahun lalu.
Menurut laporan Bernama , ketika ditanya sama ada kerajaan akan menubuhkan sebuah badan tetap untuk memantau pasukan polis, beliau berkata: "Saya tidak dapat mengulas sehingga saya melihat laporan itu."
"Tetapi saya berharap dengan perakuan suruhanjaya itu, polis akan menjadi satu pasukan yang berwibawa," kata Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan dan melafaz ikrar sempena Hari Polis ke-198 di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya mengenai anggota polis dan bekas anggota polis yang terbabit dalam kegiatan jenayah, beliau berkata PDRM adalah satu pasukan yang sangat besar dan "tentu ada beberapa orang yang membuat kesalahan."
"Tapi yang tentunya ialah bila ada kesalahan berlaku, pihak polis mesti mengambil tindakan yang keras terhadap mereka," katanya.
Pilihan utama rakyat
Abdullah juga berkata kerajaan akan terus memberi galakan untuk menarik penyertaan pelbagai kaum dalam pasukan polis.
"Terserah kepada rakyat untuk jadi anggota polis atau tidak...ini adalah pilihan bukan satu paksaan," kata Abdullah.
Perdana Menteri berkata beliau yakin kerjaya dalam pasukan polis akan menjadi jawatan pilihan pertama rakyat Malaysia pada masa hadapan dan bukannya pilihan terakhir seperti sekarang.
"Kita mahu polis nanti menjadi satu perkhidmatan pilihan pertama bagi ramai rakyat Malaysia kerana dia tahu kerja polis itu tugas yang mulia, tugas penguatkuasaan undang-undang dan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara, (untuk) memberi keselesaan kepada rakyat," katanya.
Perdana Menteri juga berkata pihak media tidak seharusnya mengkritik pasukan polis sewenang-wenangnya dan harus memberi pengiktirafan kepada PDRM pada masa tertentu.
Katanya kejayaan PDRM menyelesaikan 46 peratus kes yang dilaporkan, berbanding dengan 20 peratus yang dapat diselesaikan oleh Interpol, harus diberi kepujian.
"Kita patut mengakui kejayaan polis, jangan hanya sokong cubaan membelasah polis sahaja. Kita kritik polis cepat sangat tapi untuk mengiktiraf kejayaan polis lambat sikit," katanya.
Abdullah berkata tidak ada salahnya jika orang ramai mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis walaupun mereka hanya menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

