Aidilfitri: Pembinaan, selenggara jalan dihenti hingga 13 Julai
Kerja pembinaan dan penyenggaraan bagi Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan lebuh raya dihentikan mulai kelmarin sehingga 13 Julai nanti untuk memastikan kelancaran trafik ketika musim perayaan Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagaimanapun kerja kecemasan dan kritikal dikecualikan dalam pemberhentian sementara itu.
"Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) juga telah menubuhkan pasukan peronda bagi memantau kemalangan dan sebarang kerosakan jalan selain akan memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan dengan segera tanpa gangguan lalu lintas di Jalan-jalan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan acara 'Coffee Break' sempena Hari Raya Aidilfitri 2016 di Kuantan semalam yang turut dihadiri Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail.
Dalam pada itu, Fadillah berkata walaupun pelbagai program kesedaran telah dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya namun kadar nahas di negara ini masih tinggi.
"Untuk makluman, jumlah kemalangan maut yang direkodkan oleh statistik PDRM (Polis Diraja Malaysia) pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2015 telah mencatatkan peningkatan kepada 303 kes berbanding 217 kes pada 2014," katanya.
Beliau berkata keadaan jalan raya bukan menjadi punca utama kemalangan berkenaan berlaku tetapi faktor utama dikesan adalah disebabkan sikap pemandu sendiri yang kebanyakannya memandu melebihi had laju.
Pengguna jalan raya akan diberikan minuman percuma menerusi acara 'Coffee Break' yang diadakan serentak di setiap negeri di Semenanjung Malaysia iaitu di 10 lokasi menjadi tempat persinggahan popular semasa musim cuti perayaan.
Acara 'Coffee Break' itu bermula hari ini sehingga 4 Julai dan disambung semula selepas tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 9 Julai dan 10 Julai nanti.
- Bernama

