Paling Popular
Terkini

Kumpulan lelaki bersenjata yang melaungkan "Allahu Akbar" menyerang sebuah restoran mewah di ibu negara Bangladesh, membunuh 20 orang di dalamnya, sebelum polis menyerbu bangunan itu pada hari Sabtu dan menyelamatkan 13 tebusan, kata para pegawai.

Serangan itu di mana Negara Islam (IS) dakwa bertanggungjawab, menandakan peningkatan dalam kempen oleh militan Islam sejak 18 bulan lalu yang mensasarkan kebanyakannya individu yang menyokong pendekatan sekular atau liberal di Bangladesh.

Enam lelaki bersenjata terbunuh semasa operasi polis itu dan seorang ditangkap, kata Perdana Menteri Sheikh Hasina dalam satu siaran TV.

"Kebanyakan (tebusan) telah dibunuh tanpa belas kasihan menggunakan senjata tajam malam tadi," sebelum kepungan bermula, kata Brig-Jen Naim Asraf Chowdhury.

Tentera melancarkan serbuan itu selepas 12 jam membuat kepungan, yang bermula apabila lelaki bersenjata menyerbu restoran itu pada malam Jumaat. Dua polis terbunuh dalam serangan awal itu.

Tiga belas tebusan yang diselamatkan termasuk seorang rakyat Jepun dan dua rakyat Sri Lanka, kata Chowdhury dalam satu sidang akhbar. Polis berkata, sebelum ini, kumpulan lelaki tersebut menawan kira-kira 20 tebusan.

Seorang lelaki Jepun adalah antara yang diselamatkan dan dibawa ke hospital Dhaka dengan luka tembakan, kata seorang jurucakap kerajaan Jepun. Tujuh lagi warga Jepun tidak dapat dikesan.

Duta Itali ke Bangladesh, Mario Palma, memberitahu stesen televisyen negara itu bahawa tujuh rakyat Itali adalah antara yang menjadi tebusan.

IS menyiarkan gambar yang didakwanya warga asing yang mati terbunuh dalam serangan itu.

Polis berkata, mereka percaya kira-kira lapan hingga sembilan lelaki bersenjata berkubu di kafe itu, dengan bersenjata rifel dan bom tangan.

Gowher Rizvi, penasihat kepada Hasina memberitahu Reuters bahawa pasukan keselamatan telah cuba berunding dengan kumpulan lelaki bersenjata itu.

Krisis tebusan itu bermula apabila pengawal keselamatan di daerah Gulshan di Dhaka, yang popular di kalangan rakyat asing, perasan beberapa lelaki bersenjata di luar pusat perubatan, kata Rizvi.

Apabila pengawal itu menghampiri mereka, lelaki bersenjata itu berlari ke kafe Holey Artisan, yang penuh sesak dengan orang menunggu tempat duduk, katanya.

Ali Arsalan, bersama pemilik restoran itu, berkata kakitangan beliau memberitahunya penyerang itu melaungkan "Allahu Akbar" ketika mereka menyerbu bangunan itu.

Polis berkata, penyerang sekali-sekala berbalas tembakan dengan polis di luar untuk beberapa jam selepas lelaki bersenjata menyerang restoran itu di sekitar jam 9 malam (11 malam waktu Malaysia) pada hari Jumaat.

Seorang pegawai polis di tempat kejadian berkata, apabila pasukan keselamatan cuba memasuki premis itu pada awal kepungan, mereka dihujani tembakan peluru dan bom yang membunuh sekurang-kurangnya dua daripada mereka.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa anggota polis dengan darah di muka dan pakaian mereka, dbawa keluar dari kawasan itu.

Seorang pekerja kafe yang melarikan diri memberitahu televisyen tempatan, terdapat kira-kira 20 pelanggan di restoran pada masa itu, sebahagian besarnya warga asing. Ada 15 hingga 20 kakitangan bekerja di restoran, katanya.

Seorang lelaki warga Jepun yang diselamatkan berkata, ketika serangan itu, dia sedang makan bersama tujuh lagi warga Jepun, yang semuanya perunding bagi agensi bantuan asing Jepun, kata jurucakap kerajaan Jepun. Dia tidak tahu apa yang terjadi kepada yang lainnya.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS