Guan Eng amat terharu dengan sokongan HARAPAN
Pakatan Harapan Pulau Pinang memberi sokongan padu mereka kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Pemimpin Pakatan mengadakan mesyuarat di Komtar hari ini dan memutuskan bahawa Lim tidak perlu mengambil cuti atau meletak jawatan walaupun berdepan dengan dua pertuduhan rasuah.
Mereka menerima cadangan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk bersatu bersolidariti bersama Lim, yang juga setiausaha agung DAP.
Dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat itu, Lim berdiri dan tunduk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya di atas sokongan mereka, dan tindakannya itu mengejutkan mereka.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai, dari semua lapisan masyarakat, yang menunjukkan keprihatinan dan sokongan mereka kepada beliau dan keluarganya.
"Saya sangat terharu," kata Lim.
Bersama Lim di majlis itu ialah pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mujahid Yusof Rawa.
Mansor berkata PKR memutuskan bahawa Lim tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai KM kerana tuduhan terhadapnya adalah "bermotifkan politik".
"Selain itu, KM tidak ada kaitan, pengaruh atau kuasa ke atas pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.
"Kami juga yakin bahawa tuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya," kata Mansor.
Menurutnya, ia telah dirancang untuk melemahkan hubungan dan perpaduan di antara parti-parti Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Malaysia," tambahnya.
Mujahid yang bersetuju dengan Mansor, berkata AMANAH akan berdiri teguh dengan DAP dan PKR dalam perkara itu.
"Kami menggesa Lim untuk meneruskan tugasnya sebagai KM," katanya.
Chow mengucapkan rasa terima kasihnya kepada AMANAH dan PKR kerana berdiri teguh bersama dalam masa yang memerlukan itu.
Beliau berkata Pakatan akan melancarkan beberapa program solidariti bersama Lim dan ia akan bermula selepas sambutan Hari Raya.
"Kami menyokong KM sepenuhnya apabila beliau membersihkan namanya semasa perbicaraan yang bermula pada 22 September sehingga kita mencapai kemenangan di mahkamah."
Esok, Lim akan mengadakan sesi taklimat di Dewan Sri Pinang pada pukul 10 pagi untuk menjelaskan perkara itu kepada orang ramai.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden AMANAH Mohamed Sabu dijangka hadir di sesi itu.

