Terjemahan Datuk Musa Aman nampaknya telah berjaya memperkukuhkan kedudukannya di Sabah selepas berjaya mendapatkan sokongan para pemimpin parti komponen BN negeri yang secara terbuka menyatakan keyakinan mereka terhadap kepimpinannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Beliau yang sebelum ini dikritik hebat kerana melantik seorang bekas pegawai kanan polis, Elias Omar, yang dikatakan ada kaitan kekeluargaan dengannya, sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang baru, telah mendesak pemimpin parti komponen BN negeri supaya membuat kenyataan terbuka menyokong kepimpinannya.

Perkembangan ini berlaku ketika semakin meningkatnya sungutan dan rasa tidak puashati terhadap cara Musa mengendalikan pelbagai perkara di peringkat negeri, termasuk hal-hal dalaman parti pimpinannya Umno negeri dan dalam BN sendiri.

Bagaimanapun, beliau dapat mempengaruhi pemimpin parti-parti komponen BN negeri yang lain supaya menyatakan secara terbuka sokongan mereka terhadap kepimpinannya.

Ironinya ialah orang pertama membuat kenyataan menyokongnya ialah pemimpin Parti Progresif Sabah (Sapp) Datuk Yong Teck Lee, bekas ketua menteri dan pengkritik kuat sesetengah dasar yang diperkenalkan oleh Musa. Yong dianggap telah diketepikan selepas beliau didapati tidak layak memegang jawatan dalam kerajaan kerana melakukan kesalahan berhubung pilihanraya.

Dan yang menghairankan pula, orang yang terakhir berbuat demikian ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Joseph Pairan Kitingan, bekas ketua menteri dan kini menjadi salah seorang daripada tiga timbalan menteri, yang dipercayai sangat rapat dengan Musa.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chong Kah Kiat, yang juga bekas ketua menteri dan sekarang menjadi timbalan ketua menteri, juga turut membuat kenyataan menyokong kepimpinan Musa.

Janji belum ditunai

Chong, sepertimana juga Pairin, dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri. Tetapi sebagai pemimpin sebuah parti bangsa Cina yang kecil, beliau tidak mempunyai banyak perkara yang hendak disungutkan, berbanding dengan Pairin tentang janji-janji kepada parti itu yang belum ditunaikan lagi.

"Nampaknya, Pairin mahu menunggu sehingga yang lainnya membuat kenyataan terbuka tersebut," kata seorang pemerhati politik veteran di Kota Kinabalu.

Timbul juga desas-desus bahawa akhir-akhirnya, Pairin, yang memimpin parti terbesar kaum Kadazandusun-Murut, dikatakan tidak senang dengan kepimpinan Musa, kata bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Saidatul Badru adik kepada pemimpin Umno negeri, Datuk Salleh Keruak, yang juga merupakan bekas ketua menteri.

Pairin dikatakan telah memberitahu rakan-rakan politiknya bahawa apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya supaya membawa PBS kembali ke dalam BN, beliau (Dr Mahathir) juga memberitahunya bahawa hanya dia (Pairin) sahaja pemimpin Sabah yang mampu menyatupaduka rakyat negeri itu, terutama kaum Kadazandusuns-Murut.

"Sesuatu sedang berlaku di Sabah yang menunjukkan ada yang tidak kena dalam Umno negeri pimpinan Musa," kata Saidatul kepada malaysiakini. Saidatul kini merupakan naib presiden PKR.

Para pengkritiknya mendakwa Musa "lebih mengutamakan orang pra-pra" (separuh Pakistan, yang merujuk kepada latarbelakangnya) dalam perlantikan bagi jawatan penting dalam agensi kerajaan negeri.

Malah, Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dikatakan telah memberitahu beberapa wartawan tempatan yang PBS tidak mendapat bahagiannya dalam perlantikan seumpama itu sejak parti itu menyertai semula BN tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, ramai pemerhati bersetuju bahawa selagi beliau mendapat sokongan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kedudukan Musa selaku Ketua Menteri dan Pengerusi BN negeri akan terjamin.

Diam sementara waktu

Sistem penggiliran perlantikan Ketua Menteri yang diamalkan sewaktu zaman Dr Mahathir mungkin sudah berakhir, tetapi sesetengah pemimpin Umno yang tidak rapat dengan Musa, termasuk Salleh Keruak dan Ghafur Salleh, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri, merasakan selagi jawatan tersebut dipegang oleh Umno, ia sepatutnya digilirkan di kalangan pemimpin parti tersebut.

Ini bukan bermakna Salleh akan berpeluang menyandang jawatan tersebut kerana Musa hanya bersetuju untuk mencalonkannya sebagai Ahli Parlimen Kawasan Kota Belud, dan sekaligus menghalangnya untuk kembali menganggotai semula kabinet negeri.

Menurut mereka yang rapat dengan Musa, Ketua Menteri itu tidak berhasrat untuk melepaskan jawatannya dalam tempoh terdekat ini. Desakan supaya pemimpin parti-parti komponen BN negeri menyatakan sokongan terbuka kepadanya, nampaknya telah membuahkan hasil.

Sekurang-kurangnya, ia telah dapat mengunci mulut para pengkritiknya untuk sementara waktu,

Selain kritikan terhadap keputusannya melantik Elias sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu, Musa turut menjadi sasaran berhubung punca datangnya sumber kewangan RM40 juta untuk membiayai bangunan baru Umno negeri yang dalam pembinaan berhampiran balai polis KK.

Salah seorang penyokongnya berkata: "Setahu saya, ianya hanya merupakan satu dakwaan yang tidak disokong dengan bukti-bukti kukuh."

"Buat masa ini, kedudukan beliau adalah kukuh dan terjamin, terutama apabila beliau dikatakan mendapat sokongan kuat Abdullah," tambahnya.


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.