'Derma pada Lim dari orang ramai, bukan penderma asing 'misteri'
Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Reezal Merican Naina Merican diingatkan bahawa sumbangan orang ramai kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah daripada kehendak sendiri dan bukan daripada penderma asing "misteri".
"Dakwaan Reezal Merican bahawa DAP membebankan orang ramai bagi menderma dana untuk kes Lim baru-baru ini tidak benar, kerana ia adalah pilihan rakyat sama ada untuk menderma atau tidak.
"Hakikatnya bahawa dalam 21 jam, sumbangan kepada DAP Pulau Pinang telah mencapai RM1 juta menunjukkan bahawa rakyat menyokong penuh, bersimpati dan bersolidariti dengan Lim yang sedang dianiaya oleh BN," kata Setiausaha Kerja Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer dalam kenyataan.
"Ia adalah orang awam yang menderma kepada DAP, dan bukan penderma asing misteri seperti diterima Umno yang telah menimbulkan banyak persoalan walaupun kenyataan bercanggah pemimpinnya," tambah beliau.
Pemimpin BN semalam mengkritik kempen derma DAP bagi mengumpulkan ikat jamin RM1juta kepada Lim yang berjaya dikutip dalam tempoh 24 jam.
Sebagai respons, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata banyak dana parti itu digunakan untuk membiayai wang jaminan itu, sambil menambah DAP masih bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk beroperasi walaupun mentadbir kerajaan Pulau Pinang.

