Seorang pengurus spa sebuah resort di Lumut meninggal dunia di Hospital Ipoh hari ini akibat kecederaan teruk di kepala selepas melompat keluar dari kereta ekoran satu pertengkaran dengan suaminya pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Supt Abdul Rahman Hashim berkata kejadian itu berlaku jam 1 pagi semalam berhampiran pekan Titi Gantung apabila Rosni Daud, 38, bersama suami sedang dalam perjalanan dari Lumut ke Manjoi di Ipoh.

"Siasatan awal mendapati mereka berdua bertengkar sebelum Rosni bertindak melompat keluar ketika kereta sedang bergerak," katanya kepada pemberita.

Menurut laporan Bernama , suami Rosni kemudian memberhentikan kereta untuk mencarinya tetapi setelah tidak ditemui, beliau meminta bantuan penduduk kampung.

"Mangsa ditemui setengah jam kemudian dalam keadaan cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Ipoh," kata Abdul Rahman.

Suami Rosni, yang bekerja di Kuantan, telah mengambil beliau di Lumut untuk melihat tiga anak mereka yang dijaga oleh ibu suami Rosni di Manjoi di sini.

Abdul Rahman berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai "mati mengejut" tetapi siasatan turut dilakukan bagi memastikan punca sebenar kejadian.

Rosni bekerja di resort berkenaan sejak empat bulan lalu selepas berpindah dari Kuantan manakala suaminya berusia 34 tahun bekerja dengan Majlis Perbandaran Kuantan.