Terjemahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud Ketua Menteri Sarawak yang paling lama belum lagi bercadang untuk melepaskan jawatan tersebut pada masa ini, jika diambilkira ulasan-ulasannya mengenai perkara tersebut.

Ahli politik berusia 69 tahun itu, yang menyambut ulangtahun ke-24 sebagai ketua menteri di satu majlis makan malam Sabtu lalu berkata, beliau akan memimpin Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihanraya negeri November ini.

Dalam satu wawancara khas sempena ulangtahun tersebut, Taib berkata, beliau terfikir untuk bersara empat tahun lalu, tetapi 'kawan-kawan masih mahu beliau terus berkhidmat'.

Dalam ucapannya di majlis makan malam tersebut, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Alfred Jabu berkata, Sarawak masih memerlukan kepimpinan Taib kerana ianya penting untuk mencapai kemajuan yang lebih besar lagi.

Jabu juga merupakan Timbalan Presiden Parti Pesaka-Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pimpinan Taib.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan berkata, pihak pembangkang pun mengakui kepimpinan dan sumbangan besar Taib dalam pembangunan negeri ini.

Chan, yang memimpin Parti Bersatu Rakyat Sarawak (Supp), berkata sejak 24 tahun lalu, Taib telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran dan memperkukuhkan kepimpinannya hingga ke tahap "dihargai, dihormati dan menjadi contoh teladan kepada mereka dalam kabinet, pemimpin pelapis, malah oleh pihak pembangkang."

Menurutnya, di bawah kepimpinan Taib, Sarawak terus menerus menikmati kemajuan, dengan pendapatan per kapita negeri (RM18,346) merupakan antara yang tertinggi di Malaysia.

Kadar kemiskinan pula telah menurun daripada hampir 50 peratus sedekad yang lalu, kepada kira-kira tiga peratus tahun ini, kata Chan lagi.

'Stragis bijaksana'

Sebelum itu, Jabu memuji ketua menteri itu sebagai 'seorang stragis yang amat bijaksana kerana berjaya menangani pertingkahan politik pada masa lalu'.

"Tiada siapa yang mahu bertelingkah tetapi Taib telah meletakkan batu asas yang kukuh bagi setiap orang untuk berkongsi kuasa," katanya.

Sementara itu, Taib berkata kejayaannya memimpin negera ini sejak lebih dua dekad yang lalu adalah hasil 'semangat yang kuat untuk bekerja sebagai satu pasukan' yang menurutnya telah menjadi suatu budaya politik di Sarawak.

"Apa yang telah dicapai oleh Sarawak dalam satu generasi (ialah) setiap orang mempunyai cukup makanan, pakaian untuk dipakai dan mobiliti untuk bergerak. Ini menunjukkan orang kita sudah mampu berdiri atas kaki sendiri dan bebas," katanya.


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.